Tan Sri, percayalah UMNO akan berpecah sebelum sempat untuk menang bergaya – Isham Jalil

Saya ada terbaca berkenaan pandangan Tan Sri Annuar Musa yang inginkan gabungan besar antara UMNO, PPBM dan PAS.

Tan Sri Annuar Musa adalah sahabat saya, semasa saya di Pejabat Perdana Menteri, beliau pernah beberapa kali datang melawat saya di pejabat.

Walaupun pandangannya akhir-akhir ini banyak berbeza dengan pandangan saya terutamanya tentang hubungan UMNO dengan PPBM, saya masih anggap dia sebagai kawan; dalam politik perbezaan pendapat adalah perkara biasa.



Pendirian saya berkenaan hubungan UMNO dan PPBM adalah jelas sejak dari mula dahulu semenjak langkah Sheraton pada bulan Mac tahun ini, iaitu kita perlu berwaspada dan berhati-hati.

Kerana apa-apa hubungan atau penyatuan yang dibuat perlulah berasaskan sebab yang ‘genuine’ dan ikhlas, dan bukan kerana kesesuaian politik segelintir pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas keadaan semasa.

Penyatuan yang dibuat berasaskan kesempatan semasa tanpa keikhlasan biasanya tidak akan berkekalan dan akan merugikan.

Ramai orang-orang UMNO dari akar umbi sehinggalah ke kepimpinan tertinggi yang berpengalaman mahupun yang segar telah nampak akan hal ini, sebab itu mereka juga tidak bersetuju dengan penyatuan dengan PPBM.



Oleh itu jika hubungan dengan PPBM ini dipaksakan juga, ia akan memecahbelahkan UMNO dari dalam.

Apa guna kita bergabung dengan orang lain jika disebabkan gabungan itu rumah tangga kita sendiri akan berpecah belah.

Jika sebab penyatuan dengan PPBM ini adalah kerana kononnya untuk menang bergaya dalam PRU-15, pandangan seperti ini jauh tersasar sebab jika UMNO berpecah belah, kita akan kalah sebelum pun pergi berperang.

Bagaimanakah kita mahu pergi berperang dan berjuang bermatian jika askar-askar kita di lapangan tidak percaya atau was-was kepada motif dan arah tujuan peperangan tersebut?



Apabila ini berlaku maka kita tidak boleh menang: yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran; dan yang diimpi cabut lari, yang di rumah makan diri.

Khaled Nordin dan Pemimpin UMNO yang lain perlu patuhi disiplin parti

Saya dimaklumkan bahawa PPBM telah menyasarkan untuk bertanding di banyak kawasan-kawasan UMNO.



Kawasan-kawasan ini adalah kawasan yang kita telah kalah pada PRU-14 yang lepas.

Namun kebanyakan kawasan-kawasan ini adalah kawasan tradisi UMNO yang telah kita menangi banyak kali dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini iaitu sebelum PRU-14.

Ada juga kawasan-kawasan lompat yang kita tidak pernah kalah pun namun akan terpaksa (atau dipaksa) beri laluan kepada pelompat parti dalam PPBM.

Biasanya, dalam apa-apa peperangan atau perjuangan, jika kita kalah sesuatu kawasan atau kubu, kita akan cuba mendapatkannya kembali terutamanya jika kita hanya kalah sekali sahaja di kubu kita itu sebelum ini.



Namun jika kita memberikan laluan kepada PPBM begitu sahaja di kawasan-kawasan ini, maka belum apa-apa lagi kita telah mengangkat bendera putih dan dengan mudah menyerahkan kubu-kubu kita ini kepada pihak yang sebelum ini menentang kita, hanya kerana kononnya mereka kini “telah berdamai dengan kita dan akan menjaga kepentingan kita”.

Ini bukanlah suatu strategi dan keputusan yang waras atau bijak.

Sebab itu pada hemat saya kita perlu meneliti betul-betul cadangan gabungan besar atau “grand coalition” ini secara mendalam dan tidak hanya melihat pada atas permukaan atau mengikut-ngikut apa yang pihak lain buat.

Kerana jika kita silap maka UMNO akan berpecah dan jatuh, dan jika UMNO terkubur maka akan terlunjurlah jua satu faktor besar dalam perjuangan orang-orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia.



Salam,
ISHAM JALIL
Marhaen UMNO

Parti Melayu perlu berkorban utamakan agenda agama, bangsa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker