Remaja perempuan ditemui maut dengan kesan tetakan, putus tangan kiri

KUALA BERANG: Seorang remaja perempuan ditemui mati dengan kesan tetakan pada badan, manakala tangan kirinya putus dalam kejadian di Lubuk Batu, Telemong di sini, hari ini.

Mangsa Siti Nur Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah oleh adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah pada kira-kira 2.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3 petang sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian mungkin berlaku pada kira-kira 9 pagi dan mangsa dipercayai dirompak berikutan sejumlah wang bernilai ratusan ringgit, 2 beg tangan dan 2 telefon bimbit mangsa lesap.



“Melihat kecederaan pada bahagian badan mangsa, dipercayai beliau ditetak menggunakan senjata tajam. Bagaimanapun polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Marzhuki berkata, jenayah itu mungkin dilakukan individu yang dikenali mangsa, namun motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bapa mangsa, Ismail Muda, 58, berkata, ketika kejadian beliau tiada di rumah dan Siti Nur Surya sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit kerana menghidap kanser otak.



Beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak ke-5 daripada 7 beradik itu apabila dihubungi adik bongsu mangsa.

“Selalunya Siti Nur Surya yang akan menjemput adiknya pulang dari sekolah, tetapi hari ini, beliau tidak datang dan tidak menjawab panggilan telefon sehingga anak bongsu saya terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah.

“Selepas itu, barulah anak saya telefon beritahu kakaknya tertiarap di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Ibu mangsa yang berusia 55 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Bernama



Niat jemur bayi elak ‘demam kuning’, sudahnya tangan putus

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker