‘Felda Global Blueprint’ mesti jadi keutamaan kerajaan dan Felda, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata ‘Felda Global Blueprint’ mesti menjadi keutamaan kerajaan dan Felda.

Beliau berkata, Kertas Putih yang dibentangkan sebelum ini terlalu fokus kepada masalah tadbir urus Felda.

“Menangani masalah tadbir urus Felda tidak dapat mengatasi kepentingan mengurus masalah ‘structural‘ dan kebolehsaingan Felda.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Felda dipacu dengan kedinamikan baru dan bukan sekadar menganggap ia sebagai ‘vote bank’ untuk parti pemerintah,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Mohamad berkata, tanpa dorongan dan lonjakan untuk masa depan, Felda akan terus menjadi beban yang berat kepada kerajaan dan segala kejayaannya terdahulu akan hanya menjadi sejarah.

Pada 8 Julai lalu, pasukan petugas khas Felda sedang mengkaji kaedah terbaik, yang antara lain bertujuan memperkasa tahap kewangan dan kelestarian organisasi.

Pengerusi Felda Idris Jusoh berkata, kajian itu juga bertujuan bagi menambah baik serta melengkapkan kekurangan dalam Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen pada April tahun lepas.

Dalam pada itu, Mohamad berkata sesiapa yang memimpin Felda mesti menangani 4 cabaran penting iaitu antaranya, bagaimana untuk mengurangkan kebergantungan keterlaluan terhadap kerajaan.



Katanya, apatah lagi selepas lebih 60 tahun, pendapatan peneroka masih kekal rendah, terbelenggu dengan hutang dan kebanyakan generasi ke-2 dan ke-3 terus berada dalam klasifikasi B40.

“Kedua menggunakan segala aset, pengalaman dan potensinya untuk menjadi katalis sebenar industri pertanian, makanan dan tenaga alternatif bagi menyokong kelestarian ekonomi Malaysia.

“Kita harus memperdayakan sektor yang kita mempunyai kelebihan dan pengalaman serta mengurusnya dengan lebih baik dan inovatif.

“Hanya dengan cara itu kita boleh meningkatkan kebolehsaingan Malaysia dan berada dalam mod pertumbuhan ekonomi yang produktif,” katanya.



Mohamad juga berkata, menggunakan Felda untuk merancakkan pembangunan dan rejuvenasi luar bandar Malaysia.

Katanya, kawasan luar bandar Malaysia selalu terpinggir dalam pemacuan ekonomi negara.

“Kita lebih ghairah dengan label “gig ekonomi” dan pelbagai lagi label ekonomi yang tiada asas kukuh berbanding meneroka bagaimana aset strategik kita di luar bandar boleh dibangunkan dalam konteks “sustainable and modernised rural economy”,” katanya.

Katanya, membangunkan generasi penerus Felda supaya menjadi bakat terbaik, mandiri dan berkompetensi tinggi untuk terus kekal bergiat dalam industri pertanian, makanan dan tenaga masa depan.



Menurutnya, kerajaan mesti merancang strategi untuk generasi itu supaya mereka mempunyai kemahiran lebih unggul dan tidak meninggalkan Felda.

“Hal ini kerana penghijrahan mereka akan menjadikan Felda sebagai daerah desa dan kawasan pedalaman yang tidak berdaya ekonomi,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker