Senarai Nama 121 Ahli Parlimen Sokong Anwar adalah palsu

Share

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Dato’ Huzir Bin Mohamed, hari ini telah mengesahkan bahawa YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan ke atas kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Dua perkara penting yang membawa banyak makna yang ditegaskan oleh PDRM adalah:

(1) Orang ramai diminta agar tidak gusar dengan penyebaran berita tersebut.
(2) PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan berita palsu, tidak sahih dan mengelirukan orang ramai.

Lebih penting lagi adalah dua seksyen yang digunakan untuk menyiasat kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim ini, iaitu Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan adalah berbunyi: “Barang siapa membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman; hendaklah diseksa dengan PENJARA yang boleh sampai dua tahun, atau dengan DENDA, atau dengan KEDUA-DUANYA.”

Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia pula adalah berbunyi: “Seseorang yang— (a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar— (i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; melakukan suatu kesalahan” yang, mengikut Seksyen 233 (3), “apabila disabitkan boleh DIDENDA tidak melebihi RM50,000 atau DIPENJARAKAN selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan”.

Begitulah beratnya kesalahan menyebarkan berita begitu.

Tahniah kita ucapkan kepada PDRM atas tindakan pantas mereka.

KENYATAAN MEDIA PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH

ARAHAN MENGHADIRI PENYIASATAN DI BAWAH SEKSYEN 111 KANUN PROSEDUR JENAYAH KE ATAS YANG BERHORMAT DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) MENGESAHKAN BAHAWA SATU (1) SIASATAN TELAH DIJALANKAN KE ATAS KES PENYEBARAN SENARAI NAMA 121 AHLI PARLIMEN YANG MENYOKONG YANG BERHORMAT (YB) DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM.

SIASATAN DIMULAKAN SETELAH MENERIMA LAPORAN POLIS DARIPADA AHLI PARLIMEN JERANTUT, PAHANG, PADA 8 OKTOBER 2020 YANG LALU. KES DISIASAT DI BAWAH SEKSYEN 505(b) KANUN KESEKSAAN DAN SEKSYEN 233 AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998.

SEHINGGA KINI, SEBANYAK ENAM (6) LAPORAN POLIS TELAH DITERIMA DAN PDRM MASIH LAGI MENJALANKAN SIASATAN LANJUT BERKENAAN DAKWAAN YANG TERSEBAR LUAS DI MEDIA MASSA SEJAK KEBELAKANGAN INI.

SEHUBUNGAN ITU, YB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM TELAH DIMINTA UNTUK HADIR MEMBERI KETERANGAN PADA 12 OKTOBER 2020 JAM 11.00 PAGI. NAMUN BEGITU, SETIAUSAHA SULIT BELIAU MEMAKLUMKAN BAHAWA YB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM HANYA DAPAT HADIR PADA 13 OKTOBER 2020 JAM 9.00 PAGI.

JUSTERU, PDRM TELAH MENANGGUHKAN JANJI TEMU TERSEBUT SEHINGGA SATU TARIKH YANG AKAN DIMAKLUMKAN KELAK.

PDRM MENEGASKAN KEPADA ORANG RAMAI AGAR TIDAK GUSAR DENGAN PENYEBARAN BERITA TERSEBUT DAN MENASIHATKAN SEMUA PIHAK YANG BERKEPENTINGAN SUPAYA TIDAK MENYEBARKAN BERITA YANG BELUM PASTI KESAHIHANNYA.

PDRM TIDAK AKAN TERAGAK-AGAK UNTUK MENGAMBIL TINDAKAN KE ATAS PIHAK YANG MENYEBARKAN BERITA PALSU, TIDAK SAHIH DAN MENGELIRUKAN ORANG RAMAI.

(DATO’ HUZIR BIN MOHAMED) CP
PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH POLIS DIRAJA MALAYSIA

Leave a Reply