DAP kokok berderai-derai, ekor penuh tahi – Pemuda Pas

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyifatkan kes rasuah yang cukup berat ialah melibatkan projek terowong.

Ketua Pemudanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, projek terowong sepanjang 7.2 kilometer menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu membabitkan tokoh besar dalam DAP.

Katanya, kes itu seolah menjadi ‘sampah yang disembunyikan’ di bawah hamparan tikar kotor parti itu.

“Pemuda Pas dari awal lagi menegaskan rasuah adalah suatu perbuatan yang tercela bagi seorang manusia, dan lebih hina jika ianya dilakukan oleh seorang pemimpin yang diberikan amanah dan kuasa.

“Segala kesalahan berkaitan dengan perbuatan ini harus diambil berat oleh sesiapa sahaja tidak kira datang dari mana-mana individu, entiti atau parti, sama ada yang lama atau yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa, tertuduh dalam kes itu seolah telah disucikan apabila beliau membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan, sedangkan kes belum dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah.

Begitu juga katanya, dengan isteri pemimpin itu yang turut didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada sebuah syarikat yang telah dimasukkan dalam akaun sebuah bank miliknya.

Kata Ir. Khairil Nizam, tidak dinafikan seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, namun terdapat sesetengan pihak menganggap tuduhan rasuah yang dikenakan ke atas pimpinan DAP ini sebagai ‘ok-ok sahaja’.

“Sedangkan, kes rasuah terutama melibatkan individu yang mempunyai jawatan dalam kerajaan adalah serius, memberikan kesan terhadap pandangan rakyat terhadap kepimpinan negara.

“Maka, Pemuda Pas mendesak DAP terus jujur dan tidak mengambil sikap berat sebelah terhadap isu rasuah yang cukup keji ini.

“Ketika mereka sibuk menuduh dan menuding jari ke sana-sini terhadap kes-kes lain, apa yang dilihat, pimpinan tertinggi mereka juga terlibat dalam kes berprofil tinggi melibatkan harta negara yang sepatutnya dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, jika pimpinan DAP terus berdiam diri terhadap kes rasuah yang melibatkan pimpinan mereka, tetapi terjerit-jerit terhadap pihak lain, tidak ubahlah parti itu seperti ‘kokok berderai-derai, ekor penuh tahi’. MG

Najib jawab Dr M: Seluruh reban diberi kepada kroni ketika zaman anda

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker