Suri rumah disamun lelaki berpistol

Share

SETIU – Seorang suri rumah diacukan pistol sebelum disamun lelaki bertopeng yang memecah masuk kediamannya di Kampung Alur Pasir Bintang Permaisuri di sini, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mengakibatkan mangsa berusia 59 tahun rugi lebih kurang RM5,000 selepas gelang emas dipakainya dilarikan suspek.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, sebelum kejadian mangsa yang sedang berehat berseorangan di rumahnya dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki bertopeng muka.

Katanya, sejurus ternampak mangsa, suspek dikatakan terus menghampirinya lalu mengacukan sepucuk pistol di bawah tengkuk wanita itu.

“Tergamam dengan situasi itu, mangsa yang tidak tahu pistol diacukan itu hanyalah pistol mainan mendiamkan diri dan tidak berani untuk melawan.

“Suspek terus menutup mulut mangsa menggunakan kain sehingga dia tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya membiarkan sahaja gelang emas di pergelangan tangan kanannya dilarikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Affandi berkata, susulan laporan dibuat mangsa dan hasil soal siasat, sepasukan anggota membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Alor Pasir Bintang di sini kira-kira jam 6.30 petang pada hari yang sama.

“Semasa serbuan di lokasi, ada seorang wanita di rumah berkenaan yang menunjukkan sepucuk pistol mainan berwarna hitam dan jingga yang dibuang di atas tanah di hadapan rumah berkenaan.

“Pistol bertulisan ‘made in China’ itu dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata,” katanya. Sinar

Lelaki ceroboh masuk istana, bawa pistol mainan, pisau

Leave a Reply