Penat dah isu air Selangor!

Share

Dengkil: Rata-rata penduduk di Selangor sudah penat dengan masalah ketiadaan air hingga mengganggu urusan harian mereka terutama peniaga.

Kekerapan ketiadaan air menyebabkan mereka kini sudah hilang sabar angkara sikap tidak bertanggungjawab pemilik kilang atau perusahaan yang melakukan pencemaran di negeri berkenaan.

Peniaga di Kampung Jenderam Hilir, A Ramli Harun, 47, berkata, isu air sudah berlarutan sudah lama dan setiap tahun pastinya penduduk Selangor akan berdepan dengan masalah berkenaan.

“Kami sudah penat, setiap tahun pasti akan berlaku isu ketiadaan air, masalah ini menjejaskan perniagaan saya. Perniagaan kami boleh terjejas, bayangkan kami sudah beli bahan mentah segar untuk masak dan jika tiada air pastinya kami tidak dapat beroperasi seperti biasa,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

PENDUDUK sekitar Pekan Bangi Lama menadah air bersih dari pili awam di Kampung Bahagia. FOTO AIZUDDIN SAAD
PENDUDUK sekitar Pekan Bangi Lama menadah air bersih dari pili awam di Kampung Bahagia. FOTO AIZUDDIN SAAD
“Isu pencemaran ini bukan pertama kali dalam Selangor. Pencemaran ini memberi kesan kepada semua pihak, harap tindakan tegas dapat diambil,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Salmah Katin, 63, berkata, dia berharap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu sebelum kejadian lebih buruk berlaku.

“Ketiadaan air memang menjadi bebanan kepada kami, tolonglah selesaikan segera,” katanya.

Sementara itu, bagi penduduk Kampung Jenderam Hilir, Nor Hayati Lamyat, 46, pula berharap isu itu dapat diselesaikan segera.

“Jika tiada air satu dua hari kita masih boleh terima, tetapi kalau berpanjangan dalam tempoh seminggu memang bawa masalah,” katanya. HM

Penapis air terbakar: Coway terima pengesahan bomba

Leave a Reply