Pengedar dadah larikan diri dari penjara melalui sistem kumbahan

Seorang pengedar dadah dari China yang dijatuhkan hukuman mati, melarikan diri dari penjara di pinggir ibu kota Jakarta dengan menggali terowong melalui sistem kumbahan, kata polis pada Isnin.

Jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus berkata, Cai Changpan, 37, yang disabitkan bersalah menyeludup methamphetamine, menggali lubang dari selnya di penjara di Tangerang ke sistem pembetungan dan jalan raya di luar penjara.

Menurut rakan selnya, lelaki itu merancang selama 5 hingga 6 bulan untuk melarikan diri pada 14 Sept menggunakan peralatan daripada sebuah projek pembinaan di dapur penjara.

Jurucakap ketua pengarah Penjara Indonesia, Rika Aprianti memberitahu media, penyeludup itu yang turut menggunakan nama Cai Ji Fan, menetapkan waktu untuk melarikan diri ketika pertukaran pengawal penjara.



Menurut laporan portal Indonesia detik.com, Cai dijatuhkan hukuman mati pada 2017 atas kesalahan mengedar 135kg methamphetamine.

Siasatan polis mendapati 70kg methamphetamine disembunyikan dalam peralatan membersihkan reban ayam.

Polis berkata, Cai pernah meloloskan diri dari sebuah pusat tahanan polis di Jakarta pada 2017 dengan menggali lubang pada dinding tandas.

Tiada peguam atau wakil Cai yang boleh dihubungi untuk mendapatkan komen. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker