Keluarga perwira negara tersinggung

KUALA LUMPUR: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terkesan dengan kenyataan seorang bekas menteri yang mengaitkan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah, pada 2013 sebagai sandiwara negara.

Malah tuduhan tidak benar dan berasas bahawa ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing dianggap memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain yang mempertahankan kedaulatan negara ketika itu.

Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang, berkata beliau dan pasukan ATM amat terkesan dengan kenyataan ahli politik terbabit yang menyatakan insiden berkenaan sebagai suatu sandiwara.

“Ini adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Adalah ditegaskan bahawa ATM memainkan peranan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi berkata walau apa pun halangan atau cabaran yang mendatang, pasukan ATM sentiasa mendahulukan aspek pertahanan negara bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.

“ATM yang kini 87 tahun pada 16 September 2020 lalu sudah menyaksikan banyak darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurahkan demi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Malaysia pada hari ini dan sentiasa terpelihara.

“Kenikmatan yang tersedia ini tidak datang bergolek, sebaliknya meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini,” katanya.

Kenyataan Affendi ini dipercayai merujuk kepada dakwaan bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi, yang menyifatkan insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 sebagai sandiwara.

Mohammadin yang juga calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, dalam satu video ucapan yang tular dalam laman sosial mendakwa tragedi di Kampung Tanduo hanyalah peperangan bersama ayam dan anjing.

Dia juga mendakwa pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan ke Lahad Datu sedangkan peperangan tidak berlaku.

Bagaimanapun selepas menerima kecaman, Mohammadin kemudian tampil meminta maaf dan mendakwa video yang disebarkan itu tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya.-BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker