Seorang selamat, empat hilang bot karam di Tanjung Po (video)

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi individu yang hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Po berhampiran Bako pada Rabu.

Mangsa yang selamat dikenali sebagai Richard Chee, 38, sementara yang masih hilang dikenal pasti sebagai Bong Fah Yew, 48, Adenan Suna, 44, serta dua warga Indonesia iaitu Ani dan Harly.

Richard, bekas anggota tentera laut, diselamatkan oleh nelayan tempatan sekitar 9 pagi selepas ditemui terapung dalam tong ikan.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata operasi SAR diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching sejurus laporan diterima pada jam 9.15 malam.



“Kehilangan mereka disedari oleh salah seorang daripada isteri mangsa selepas dia gagal menghubungi telefon bimbit suaminya dan dikhuatiri bot yang mereka naiki karam di perairan Tanjung Po,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Teh memaklumkan, Pangkalan Hadapan SAR dibuka oleh Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak dan petugas ditempatkan di Jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) bagi melancarkan kerja-kerja koordinasi.

Sementara itu sehingga 9 pagi hari ini, difahamkan seorang daripada mangsa berjaya ditemui hanyut dalam keadaan selamat dan usaha mengesan mangsa yang lain masih dijalankan.

Operasi SAR tersebut turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Pasukan Polis Marin.



Pesawat Cessna C208 milik Pasukan Gerakan Udara juga akan melaksanakan penerbangan pada 2.30 petang di lokasi kejadian.

APMM menggesa komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan.

Orang ramai disarankan menghubungi APMM Sarawak jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian Pusat Operasi APMM Sarawak 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. UB



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker