Siasat laporan syarikat China kumpul 1,400 data rakyat Malaysia, kata Ismail

Pihak berkuasa diminta menyiasat terlebih dahulu laporan sebuah agensi berita antarabangsa, mengenai syarikat mempunyai kaitan tentera dan perisikan di China yang didakwa mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran berhubung laporan itu tidak jelas dan siasatan perlu dilakukan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kadang-kadang kita dengar berita banyak tidak jelas kebenarannya, jadi saya minta perkara ini disiasat dahulu.

“Data peribadi sepatutnya dilindungi, sebab kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di mana data peribadi setiap individu dalam negara (rakyat Malaysia) dilindungi, jadi kalau ada kes seperti ini kita harap pihak berkuasa berkaitan siasat, lepas itu barulah kita boleh ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kad aku janji pematuhan prosedur operasi standard Covid-19 sempena kempen Bulan Kemerdekaan Perbadanan Nasional hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah agensi berita antarabangsa bahawa, sebuah syarikat China yang mempunyai kaitan dengan tentera dan rangkaian perisikan di China, dilaporkan mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Berdasarkan laporan itu jumlah berkenaan antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan data Zhenhua Data, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker