‘Buang parti’ jika gagal jadi wakil rakyat: Bung Moktar

KINABATANGAN – Tindakan tegas akan diambil kepada calon Barisan Nasional (BN) yang gagal menjalankan tugas kepada rakyat apabila berjaya menjadi wakil rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia termasuk akan dibuang daripada parti.

“Tindakan ini bukan satu ugutan tetapi jaminan kepada rakyat supaya wakil rakyat berkenaan akan bekerja bersungguh-sungguh dan berkhidmat kepada rakyat.

“Ada pemimpin apabila dipilih menjadi wakil rakyat, lalai sehingga memberi imej buruk kepada parti. Jadi mana-mana wakil rakyat tidak ‘perform’ kita minta supaya berhenti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program bersama rakyat di Kampung Bakau di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, keputusan BN meletakkan calon muda dalam PRN kali ini dilakukan selepas mengambil kira permintaan rakyat selain kebolehan calon.

“Ada yang mengatakan anak muda mempunyai kekuatan, wisdom, kebijaksanaan dalam urusan politik, tetapi anak muda saja tidak akan mencapai kejayaan.

“Ada anak muda gagal yang saya nampak di Dewan Rakyat, mereka boleh bercakap tetapi tiada impak untuk ekonomi, negara dan rakyat,” katanya.

Katanya, BN meletakkan hanya anak muda yang berketrampilan dan suaranya boleh didengar semua peringkat dan lapisan di semua DUN ditandingi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker