PN, Jangan Lupa Sumbangan PAS – MB Kedah

ALOR SETAR – PAS berharap parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) tidak melupakan sumbangan parti itu yang tetap menggerakkan jentera pilihan raya untuk membantu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah meskipun tidak bertanding.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya akur dengan keputusan parti yang tidak meletak calon pada PRN Sabah tetapi bersedia membantu rakan parti yang bertanding.

“Kita akan bantu (calon PN), saya yang menguruskan jentera pilihan raya dan kita sudah mengarahkan jentera bertugas seperti biasa seolah-olah PAS bertanding.

“Sudah ada jentera dihantar sebelum penamaan calon dan kita akan hantar kumpulan kedua jentera dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan PAS memberi laluan kepada rakan dalam PN bertanding pada PRN Sabah bagi mengelak pertembungan demi kemenangan besar gabungan berkenaan.

Kata Abdul Hadi, PAS juga menghormati sikap rakan di Sabah yang berhasrat bertanding di keseluruhan 73 kerusi selepas usaha rundingan dimuktamadkan.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, rakan parti berkenaan diharap tidak melupakan sumbangan PAS pada masa depan.

“Semangat setia kawan PAS sangat tinggi, jentera kita rajin berkerja dan kita tidak pernah berkira.

“Kita sedaya upaya akan membantu memenangkan calon PN pada PRN Sabah,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker