Putrajaya digesa berhenti tunduk kepada sekolah vernakular, Islamisasi

Pegawai persekutuan di Putrajaya digesa menangani “keangkuhan” sekolah vernakular dan menghentikan “Islamisasi” di sekolah kebangsaan sebagai langkah untuk memupuk perpaduan dalam generasi muda.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Teo Kok Seong yang juga pakar dalam etnolinguistik, berkata sekolah vernakular ialah halangan kepada perpaduan negara kerana majoriti kanak-kanak di sekolah itu hanya fasih dalam bahasa ibunda mereka.

“Trendnya ialah hanya mereka yang bijak tahu bahasa Melayu dan Inggeris. Yang lain hanya boleh bercakap bahasa ibunda mereka,” katanya kepada FMT.

Teo, yang pernah menganggotai Jawatankuasa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, berkata kerajaan pernah cuba menyeragamkan sukatan pelajaran Melayu dengan menurunkan standard bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.



Katanya, ini dilakukan supaya ia dapat memenuhi kualiti silibus Melayu di sekolah vernakular di “pertengahan”, tetapi kumpulan pendidikan Cina enggan berganjak.

“Pemimpin kumpulan Cina berkata, ini akan menghakis identiti sekolah Cina.”

Beliau berkata, kerajaan juga berusaha menggalakkan sekolah vernakular mempunyai lebih banyak kelas bahasa Melayu untuk memastikan pelajar sekolah Cina lebih terdedah kepada bahasa kebangsaan, tetapi pendidik Cina sekali lagi mahu bahasa Melayu hanya diajar melalui terjemahan.

“Mereka mahu guru bahasa Mandarin mengajar bahasa Melayu dengan menterjemah bahasa Melayu ke bahasa Mandarin. Ia seakan-akan mengajar bahasa Jepun kepada pelajar asing melalui terjemahan.”



Sesetengah pelajar Tingkatan 1 dan 2 (yang berasal dari sekolah vernakular) tercicir kerana tidak mampu mengikuti mata pelajaran Melayu di sekolah menengah.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan berkata, sayap Pemuda PPBM terus menyokong pemansuhan sekolah vernakular di negara ini kerana ia gagal melahirkan pelajar yang memiliki “identiti kebangsaan yang kuat”.

Kerajaan ‘tunduk kepada NGO berasaskan Islam’



Teo berkata, kerajaan juga tunduk kepada NGO berasaskan Islam menyebabkan sekolah kebangsaan kelihatan seperti sekolah agama dan lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah vernakular dan swasta.

Katanya, isu itu mencapai tahap di mana kerajaan tidak dapat melakukan sebarang pembaharuan kerana bimbang dengan tindak balas masyarakat.

Bagaimanapun, kerajaan perlu berhenti tunduk kepada NGO sedemikian.

“Ahli politik perlu menangani isu sekolah vernakular dan kebangsaan secara terus. Mereka perlu memikirkan generasi akan datang secara serius, bukannya hanya pilihan raya akan datang.”



Beliau mencadangkan pegawai kerajaan perlu mengakui wujud masalah dalam sekolah vernakular dan kebangsaan terlebih dahulu serta “bercakap mengenai perkara tidak menyenangkan”.

“Mereka perlu menyelesaikan masalah secara langsung. Sama ada isu itu sensitif atau tidak, mereka perlu melakukan sesuatu kerana sistem pendidikan kita merosakkan masyarakat.”

Katanya, kerajaan perlu mengkaji kualiti guru dan pendidikan supaya sekolah kebangsaan menjadi pilihan semua ibu bapa untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan.

Perlu pembaharuan mendalam



Lim Teck Ghee, bekas saintis sosial kanan Bank Dunia, berkata ciri-ciri sekolah kebangsaan menjadi lebih Islamik secara perlahan-lahan.

“Itu menjadi trend lebih beberapa tahun sekarang. Ini sebahagiannya menjelaskan kenapa bukan saja bukan Melayu, tetapi ramai ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah vernakular,” katanya kepada FMT sambil menambah trend ini mungkin berterusan.

Disebabkan itu, katanya, sukar untuk sekolah kebangsaan menarik pelajar sekolah bukan Melayu tanpa pembaharuan mendalam.

Pembaharuan mendalam itu perlu merangkumi standard tinggi pendidikan, kurang menekankan agama dan bahasa, kakitangan berbilang bangsa serta mewujudkan persekitaran yang benar-benar berbilang kaum.



“Malangnya, ini tidak mungkin berlaku, jadi bukan Melayu dan lebih ramai anak Melayu kaya keluar beramai-ramai dari sekolah kebangsaan akan berterusan.”

Beliau berkata, beberapa ahli politik mencetuskan perpecahan dengan menggunakan sekolah vernakular sebagai kambing hitam untuk masalah agama serta perkauman negara.

“Jangan ganggu sekolah vernakular dan tumpukan perhatian untuk meningkatkan standard pembelajaran dan pengajaran semua sekolah dalam sistem kebangsaan.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker