Nazri: ‘Wakil rakyat lompat parti macam pelacur’

Kaukus Ahli Parlimen Untuk Reformasi Sistem Pilihan Raya yang ditubuhkan secara rasmi hari ini berkata memerlukan enam bulan untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menyekat perbuatan wakil rakyat melompat parti.

Pengerusi Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia Anthony Loke berkata IPU Malaysia dalam mesyuarat hari ini turut sebulat suara bersetuju mencadangkan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz sebagai pengerusi kaukus itu.

Nazri Aziz yang juga MP Padang Rengas berkata pihaknya akan memanggil pakar-pakar dalam bidang berkaitan bagi membincangkan dan mencari jalan berhubung perkara itu.

“Kita merasa terpanggil untuk mengadakan satu kaukus menghentikan tindakan memalukan yang diambil ahli parlimen sehingga menjadi negara tak stabil hasil daripada lompat parti.



“Ini masalah yang kita hadapi lebih 30 tahun lalu. Walaupun mahkamah memutuskan akta anti lompat parti tidak dapat diwujudkan kerana bercanggah dengan hak asasi manusia, kaukus ini akan mencari kaedah paling sesuai untuk menangani isu berkenaan.

“Saya tak tahu parti mana tak setuju dengan undang-undang anti lompat parti ini. Mereka (wakil rakyat lompat parti) ini macam pelacur melacurkan diri bagi saya,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Kaukus ahli parlimen rentas parti bagi reformasi sistem pilihan raya itu akan mempunyai wakil daripada setiap parti politik.

Menjelaskan lanjut, Nazri berkata perbuatan sebegini tidak seharusnya berlaku lagi pada tahun 2020 ketika negara menuju kemajuan.



“Apa contoh kita nak tunjuk kepada anak muda, ahli parlimen yang dipilih dalam pilihan raya umum (kalau melompat) melakukan perbuatan paling dihina bagi saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anthony Loke, berkata kaukus berkenaan ditubuhkan susulan cadangan Nazri ketika membahaskan ucapan usul menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong.

Menurutnya, Nazri menyarankan perubahan reformasi dalam sistem pilihan raya untuk menghentikan amalan lompat parti.

“Pandangan beliau menerima reaksi dan sokongan pelbagai pihak dalam parlimen termasuk ahli parlimen Pakatan Harapan (PH),” kata Loke dalam sidang media sama.



Jelasnya lagi, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun juga katanya sudah dimaklumkan dan bersetuju dengan penubuhan kaukus berkenaan.

“Kita akan panggil ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, dan individu yang sesuai, untuk beri pandangan tambah baik sistem pilihan raya.

“Kita nak kekang mana-mana ahli parlimen lompat parti setelah menang atas kapasiti parti,” kata Loke. Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker