APMM patuh ‘rules’ sebelum lepas tembakan terhadap nelayan Vietnam

Share

PUTRAJAYA – Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mematuhi ‘Rules of Engagement’ penggunaan senjata api sebelum melepaskan tembakan ke arah bot nelayan Vietnam dalam kejadian kira-kira 180 kilometer dari Muara Tok Bali, Kelantan, semalam, kata Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Beliau berkata, ini termasuk melepaskan tembakan amaran ke udara dalam usaha mempertahankan diri, nyawa dan aset kerajaan selepas bot nelayan berkenaan bertindak lebih agresif dengan merempuh Bot Penyelamat 7.

Malah, katanya, siasatan ke atas bot nelayan Vietnam itu turut menemukan beberapa senjata berbahaya yang disimpan bersama sejumlah bungkusan plastik bom diesel di dalam beberapa kotak penyimpanan ikan menunjukkan seolah-olah mereka telah membuat persiapan awal untuk melakukan tindakan ofensif apabila ditahan oleh agensi penguat kuasa Malaysia.

“Saya mengesahkan kejadian berlaku di luar Laut Wilayah (melepasi 12 batu nautika daripada garis pangkal) tetapi masih berada di dalam Zon Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan mengulas insiden berkenaan.

Beliau mengulas tindakan APMM Kelantan terpaksa melepaskan tembakan ke arah satu daripada dua bot nelayan Vietnam menceroboh perairan negara selepas pasukan keselamatan dibaling bom diesel serta dilanggar oleh bot asing itu yang meragut nyawa seorang nelayan Vietnam kira-kira 11.40 malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata, dalam kejadian itu nelayan berkenaan menyerang dengan membaling bom diesel dan senjata keras seperti batang besi, bongkah kayu besar dan spanar terhadap Bot Penyelamat 7 yang mengancam nyawa penguat kuasa dan harta kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN Bot APMM dirempuh, dilempar bom oleh nelayan asing

Bot nelayan terbabit bertindak lebih agresif apabila merempuh Bot Penyelamat 7 mengakibatkan bahagian hadapan kanan bot berkenaan remuk, selain badan dan tingkap cermin bot pecah akibat dilempar dengan beberapa senjata tajam.

Mohd Zubil berkata, APMM akan menggunakan kuasanya yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7 (3) Akta APMM 2004, untuk menyiasat kejadian menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh kepada penguat kuasa dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Bagi isu pencerobohan bot nelayan asing pula, Mohd Zubil berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/1963.

“Siasatan telus akan dilakukan sewajarnya ke atas kejadian ini dan APMM akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi mengawal perairan negara daripada dicerobohi nelayan asing.

“APMM mengambil perhatian serius akan tindakan ganas dan melampau nelayan-nelayan Vietnam yang boleh memudaratkan nyawa penguat kuasa dan harta kerajaan Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zubil berkata, menerusi Ops Kuda Laut sejak 24 Jun lepas, sebanyak 43 bot asing telah ditahan dengan jumlah kru nelayan Vietnam yang ditangkap adalah 487 orang. – Bernama

Leave a Reply