Teruskan perjuangan tanpa Dr. Mahathir – Muhyiddin

Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau (Dr. Mahathir) tidak lagi bersama-sama kita. Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

“Yang penting, perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan,” katanya menerusi Perutusan Persidangan Srikandi, Angkatan Muda Bersatu (Armada) dan Bahagian Bersatu hari ini.

Perutusan itu dimuat naik menerusi status akaun Facebook miliknya.



Tambah Muhyiddin, beliau juga sama sekali tidak pernah mengkhianati parti yang diasaskan bersama dengan Dr. Mahathir.

“Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi, tidak ada sebab untuk saya khianat kepada parti yang saya sendiri tubuhkan. Saya yakin, segala apa yang telah berlaku pasti ada hikmahnya. Jangan kita lupa, kita sekadar merancang, tetapi Tuhan lah yang menentukan,” ujarnya.

Muhyiddin turut menyifatkan dirinya sendiri pernah melalui fasa jatuh dan bangun dalam politik dan menganggap perkara itu sebahagian daripada asam garam kehidupan.

“Kali ini, Allah SWT memberikan kepada saya satu amanah besar untuk memimpin parti dan kerajaan.



“Pengalaman mengajar saya bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa adalah sementara. Ia bukanlah kurniaan untuk kita bermegah-megah. Ia juga bukan hak untuk kita miliki selama-lamanya. Tetapi kuasa pemerintahan adalah satu amanah berat untuk kita pikul,” ujarnya. – UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker