2 bulan kritikal untuk pulih negara

Semalam Isnin 8 Jun adalah Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Sehari sebelum itu, Ahad 7 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum berakhirnya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada Selasa 9 Jun.

Hari itu, semua pejabat kerajaan dibuka dan perkhidmatan awam berfungsi sepenuhnya. Keesokan pula, Rabu 10 Jun, semua sektor ekonomi beroperasi kecuali perkhidmatan tertentu. Rakyat juga dibenarkan merentas negeri. Maka bermulalah fasa PKP pemulihan (PKPP) yang akan berakhir pada 31 Ogos, Hari Kebangsaan ke-63.

Jadi 2 bulan ini tempoh yang kritikal untuk pulih daripada bukan saja wabak Covid-19 tetapi juga ekonomi yang terkesan teruk daripada langkah yang diperkenalkan sepanjang PKP.

Maka diharapkan semua sektor ekonomi dapat digerakkan supaya negara ketika menyambut Hari Kebangsaan nanti berjaya melaksanakan PKPP dan meneruskan kehidupan dalam normal baru yang pastinya tidak akan seselesa pada waktu sebelum Covid-19.



Keadaan ekonomi dan politik di peringkat dunia juga sudah berubah dan pada keseluruhannya, negara-negara melakukan pembinaan semula, pastinya tetap mencabar lebih-lebih lagi vaksin Covid-19 belum lagi ditemui.

Dunia, termasuk Malaysia, tidak akan dapat kembali seperti era pra-Covid-19. Laluan lain akan ditempuhi. Kalau melawan Covid-19 itu seperti peperangan, maka keadaan dunia adalah untuk bangkit daripada segala kerosakan akibat daripadanya. Itupun Covid-19 masih ada dalam masyarakat dan mampu melancarkan serang hendap.

Hari Keputeraan Agong mempunyai makna besar bagi rakyat dan negara ini. Institusi ketua negara ini bukan saja menjadi simbol kenegaraan tetapi meletakkan rakyat dalam lingkup kebersamaan, tanpa mengira kaum, agama, dan fahaman.

Apabila PKP dilaksanakan dengan sempadan negara ditutup, maka dapat dihargai setiap individu mempunyai ruang geografi di mana ia boleh dipanggil sebagai tempat di mana ia adalah warga. Dengan PKP, semua berusaha untuk pulang ke negara masing-masing. Maka begitu jugalah rakyat Malaysia. Baru disedari kepentingan nilai kewarganegaraan. Betapa pentingnya setiap negara melindungi rakyatnya. Untuk itu rakyat juga wajar bekerja bagi memastikan negara dibina dengan baik untuk melindunginya.



Adalah suatu yang bermakna apabila berlaku insiden George Floyd di Amerika Syarikat yang membawa kepada tunjuk perasaan di seluruh dunia, di tengah-tengah wabak Covid-19. Ia bukan saja menyedarkan manusia tentang keburukan rasisme tetapi meletakkan hakikat bahawa sesebuah negara adalah hak semua warganya, yang wajar dilayan saksama.

Hampir semua negara di dunia didirikan atas penolakan terhadap rasisme. Nasionalisme atau kebangsaan menolak rasisme iaitu perkauman. AS sendiri, selain daripada didirikan atas pencapaian daripada Britain, ia juga mempunyai kesaksamaan semua warga negaranya selepas perang saudara dan pembebasan hamba abdi.

Setiap negara mempunyai sejarah unik masing-masing. Di Malaysia, negara ini juga diasaskan pada kebangsaan dan penolakan perkauman. Daripada Malayan Union yang ditentang hinggalah kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya. Malayan Union menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan British tanpa kebangsaan.

Persekutuan Tanah Melayu mewujudkan kebangsaan yang meletakkan kaum Melayu, Cina, dan India sebagai asas bangsa Malaya dengan Agong adalah ketua negara bagi semua rakyat berbilang kaum.



Institusi Agong diwujudkan sebaik saja Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka dan istiadat pertabalan Seri Paduka berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 2 Sept 1957.

Bangsa Malaya atau Malayan ini tidak begitu ditekankan tetapi ia satu realiti. Ia diperkukuhkan dengan penubuhan Malaysia. Bukan saja istilah Bangsa Malaysia tetapi juga Bahasa Malaysia digunakan untuk menekankan konsep kebangsaan dan menolak perkauman.

Semangat kebangsaan yang bermaksud kebersamaan semua rakyat tanpa mengira kaum ini amat penting bagi kemakmuran negara, ini kerana sumbangan optimum semua akan memajukan negara. Jika tidak, negara tidak akan dapat manfaat daripada sumbangan mereka yang dipinggirkan. Lebih penting lagi ketika detik negara menghadapi cabaran seperti ancaman asing atau krisis kewangan.

Maka begitu juga ketika menghadapi wabak Covid-19 ini,kebersamaan ini perlu. Juga ketika menghadapi pemulihan ekonomi yang laluannya masih tidak jelas.



Sikap rasisme mengganggu kestabilan politik dan kemajuan ekonomi. Ini kerana sikap rasisme melihat semua masalah dari sudut kaum. Akibatnya realiti sesuatu masalah menjadi tersembunyi dan akhirnya penyelesaian sebenar tidak dapat dilakukan kerana terganggu dengan kaca mata rasisme.

Rasisme dirasakan sudah terpendam begitu dalam hingga sukar untuk dibuang. Ditambah pula sikap rasis wujud dalam semua kaum. Tetapi langkah yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan segala perkara yang boleh menambah semangat perkauman. Ini kerana sikap rasis dari satu kaum akan dibalas dengan rasisme dari kaum lain. Ia berbentuk berbalas-balas hinggakan ia menjadi tebal dalam masyarakat dan akhirnya meletup dan merobek tenun kebangsaan.

Bermula dengan memandang Agong bukan saja sebagai raja orang Melayu tetapi ketua negara bagi semua rakyat yang dinaungi tanpa mengira kaum, hinggalah menganggap Persekutuan Malaysia ini bukanlah terdiri daripada 13 buah negeri semata-mata tetapi juga ia dianggotai oleh warga negara daripada berbilang kaum.

Ada orang yang cenderung melihat institusi raja dari sudut perkauman Melayu. Maka perhatiannya adalah pada susur-galur raja-raja zaman silam di Nusantara untuk berasa nostalgia bersejarah.Tetapi jika dilihat dari sudut kebangsaan Malaysia, maka ia lebih relevan dan bermanfaat. Institusi raja di zaman ini pemersatu rakyat bagi melicinkan kehidupan bernegara.



Lebih-lebih lagi dalam era ini, sesebuah negara itu tidak menjadi tempat tinggal warga negara semata-mata. Di dalam negara sudah ada pula pekerja asing, sama ada sebagai pendatang dengan izin (PADI) atau pendatang tanpa izin (PATI). Wabak Covid-19 ini menyerlahkan betapa pengurusan yidak bagus terhadap mereka mendatangkan bahaya terhadap rakyat.

Dalam normal baru, tiada tempat lagi bagi PATI. Mereka wajar dihantar pulang menurut undang-undang. Tetapi pekerja asing, PADI dan pelarian mesti diurus dengan baik. Walaupun bukan warga negara, mereka sebahagian daripada penduduk negara ini. Seperti juga warga negara Malaysia yang menjadi penduduk negara asing, umpamanya di Singapura.

Dengan melepasi isu perkauman, fokus rakyat adalah pada pemulihan ekonomi. Semua cerdik pandai dalam negara perlu digemblengkan untuk pemulihan ini. Tetapi untuk rasa kebersamaan, masyarakat hendaklah bersih daripada korupsi. Kalau tidak, korupsi ini akan menjadi penyakit yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan akhirnya meleret kepada isu politik.

Biarlah Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini merupakan sambutan kejayaan negara pulih daripada Covid-19. Walaupun pemulihan ekonomi akan mengambil masa lebih lama lagi tetapi sekurang-kurangnya asas untuk bangkit balik dapat dibina.



Zin Mahmud
FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker