Buka segera pintu sempadan untuk rebut peluang awal, kata dewan perniagaan

Sebuah badan perniagaan menggesa kerajaan membuka semula sempadan negara dengan segera bagi merebut peluang awal berbanding negara lain.

Pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Shaun Edward Cheah berkata, “penting bagi kita untuk bermula lebih awal berbanding negara lain dan kejayaan cemerlang mengawal Covid-19 membolehkan kita berbuat demikian.

“Inilah masanya kita memanfaatkan kelebihan itu dan pada masa sama memastikan semua langkah keselamatan tersedia.”

Beliau berkata, kerajaan boleh mengambil langkah awal dengan membenarkan ekspatriat dan keluarga mereka kembali ke negara ini terlebih dahulu dan selepas itu mewujudkan “koridor hijau” dengan negara lain yang mencatatkan angka kes aktif Covid-19 yang rendah atau sifar.

Seorang lagi tokoh perniagaan, iaitu presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Tan Yew Sing berkata, perjalanan antarabangsa berdasarkan had dan kawalan tertentu harus dipertimbangan.

“Umumnya, orang ramai tidak akan keluar negara untuk berlibur pada masa ini, tetapi terdapat golongan yang terpaksa berbuat demikian atas urusan kerja, perniagaan atau keluarga,” katanya.

Cheah berkata, hubungan perniagaan di Asia adalah dipandu oleh konsep “Quanxi” dalam budaya Cina, iaitu hubungan peribadi dan kepercayaan yang kukuh.

“Bakal pelabur asing atau pembeli tentu mahu melaksanakan usaha wajar dan berjumpa bakal rakan kongsi mereka secara bersemuka atau melihat sendiri kemudahan terbabit. Ini tidak boleh dilakukan secara maya.”

Tan berkata, semasa tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kerajaan perlu menyemak semula kawalan sempadan dari masa ke masa bergantung pada keadaan wabak Covid-19 di negara ini dan juga di luar negara.

Ahli ekonomi Carmelo Ferlito, yang bekerja di sebuah syarikat yang mempunyai ibu pejabat serantaunya di sini berkata, Putrajaya perlu menyediakan garis masa yang jelas berhubung pembukaan semula sempadan.

Beliau berkata, bagi syarikat yang mempunyai ibu pejabat wilayah di sini, mobiliti tenaga kerjanya penting. Ahli kumpulannya misalmnya tidak boleh menyediakan khidmat sokongan kepada pelanggan di China atau melatih pelanggan di negara lain susulan sekatan yang ada sekarang.

Katanya, syarikat yang bercadang memulakan operasi di Malaysia perlu datang dan mengakses kemudahan yang ada.

“Ia bukan isu membuka pintu sempadan semata-mata. Tetapi jika anda memutuskan untuk berbuat demikian, maka tetapkan garis masa yang jelas bagi membolehkan perniagaan membuat rancangan sewajarnya.

“Ketidaktentuan tidak baik untuk perniagaan,” katanya.

FMT

Related Articles

One Comment

  1. Maaflah,,,ketika kes d luar negara makin mengila mengapa perlu kita buka pintu sempadan hanya kerna nak layan taiun2 kaya bisnes,,perkasakan sahaja bisnes dlm.negara sebelum buka pintu sempadan,,ini norma baru kita kena bijak menguna bahan dlm.negara untuk kegunaan pihak industri kita

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker