Pelarian hasilkan lebih 7,000 set PPE untuk barisan hadapan

Sekumpulan pelarian artisan di Kuala Lumpur menghasilkan 7,685 set pakaian perlindungan peribadi (PPE) untuk barisan hadapan di lapan hospital dan klinik di Malaysia.

Artisan atau mereka yang mahir dalam kerja tangan tersebut terdiri daripada 21 pelarian Afghanistan dan enam pelarian dari Myanmar.

Mereka menyumbangkan usaha melalui Earth Heir, iaitu sebuah kumpulan usahawan sosial kraftangan yang terdiri daripada 140 artisan di Malaysia.

Set PPE tersebut bernilai RM163,806.20, kata Earth Heir ketika menyerahkan penyertaan ke pertandingan anjuran Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

“Projek PPE itu membolehkan pelarian menjana pendapatan, menyokong usaha untuk membantu wira negara kita dan membolehkan kita membantu negara dalam memerangi wabak koronavirus,” menurut Earth Heir ketika menyertai pertandingan berkenaan.

Penghasilan PPE itu dibiayai dari sumbangan dan dihantar ke Hospital Ampang, Hospital Klang, jabatan kesihatan daerah Gombak dan Petaling, Klinik Kesihatan Petaling, Shah Alam dan Batu, dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Pertandingan yang berlangsung sehingga 12 Jun itu, mencari penyertaan daripada individu dan kumpulan masyarakat berkaitan strategi mereka dalam menempuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Peserta boleh berkongsi cerita mereka dengan menghantar SHARE ke +6016 800 1919 melalui Telegram atau WhatsApp, bersama dengan gambar atau video aktiviti mereka semasa PKP, untuk berpeluang memenangi baucar bernilai RM100.

Ia sebahagian daripada usaha pemetaan penyelesaian oleh UNDP dan Unicef bagi merekod cabaran dan inovasi daripada masyarakat akar umbi sewaktu penularan wabak, bagi membantu pembuat dasar menangani keperluan masyarakat.

Artisan terjejas teruk

Earth Heir berkongsi kisah mengenai pelarian artisan di bawah kategori ‘menyokong kumpulan yang terjejas dalam masyakat’.

Ia berkata projek itu berusaha menangani keperluan artisan, yang kehidupan mereka terjejas teruk apabila operasi mereka ditutup dan pesanan dibatalkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pelarian artisan tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif World Fair Trade Organisation (WFTO) Asia bagi mengedarkan PPE yang dihasilkan oleh pelarian.

Di bawah program ini, pelarian dari Afghanistan, Myanmar dan Syria menghasilkan set PPE termasuk gaun PPE, penutup kepala dan kasut sebagai sumbangan dalam perjuangan melawan Covid-19, katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Earth Heir, Xiao Cheng Wong memberitahu Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), tujuan kumpulan itu adalah untuk menjamin pendapatan anggota pelarian mereka.

“Mereka adalah salah satu kumpulan yang paling terjejas selama wabak ini dan paling banyak terkesan ketika kelembapan ekonomi,” kata Wong.

Sebahagian daripada pelarian yang juga artisan berkenaan bekerjasama dengan Earth Heir yang berpusat di Pudu, Kuala Lumpur yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bulan lalu berikutan lonjakan kes Covid-19.

Terpisah di sebalik kawat berduri, mereka tidak dapat meneruskan pekerjaan dan harus bergantung kepada Earth Heir untuk mendapatkan keperluan asas, kata kumpulan itu.

Golongan pelarian itu terdiri daripada 14 orang dewasa dan lima kanak-kanak.

Terdapat 177,800 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia sehingga April.

Mereka berasal dari Myanmar, Pakistan, Yaman, Somalia, Syria, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq, Palestin dan negara-negara lain.

Seramai 46,450 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Malaysia tidak meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951.

Pelarian dan pencari suaka dianggap sebagai pendatang tanpa dokumen dan tidak dibenarkan bekerja atau mendapatkan pendidikan di Malaysia.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker