KKM kesan mutasi Covid-19 dengan kebolehjangkitan lebih agresif

Pihak berkuasa kesihatan mengesan mutasi virus Covid-19 di negara ini yang lebih agresif.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, salah satu mutasi yang dikesan adalah pada Kes-26 yang setakat ini telah menjangkiti 120 yang lain.

“Difahamkan ada 30 mutasi setakat ini. Di Institut Kajian Perubatan (IMR) kita laksanakan pengasingan dan kultur virus.

“Kita dapati Kes-26 contohnya, ada satu mutasi. Dan mungkin sebab mutasi ni jadikan virus lebih ganas telah merebak dan jangkiti 120 orang.



“Jadi mutasi baru lebih dahsyat lagi. Itu pasti,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham sebelum itu ditanya pemberita mengenai kajian di India yang menemukan 10 mutasi Covid-19.

Untuk rekod, Kes 26 telah dikenal pasti sebagai Hisham Hamdan, yang merupakan pengerusi UDA Holdings dan pengarah eksekutif Khazanah.

Hisham tampil mededahkan dirinya sebagai Kes 26 awal bulan lalu berikutan laporan media dan kritikan terhadapnya kerana didakwa mencetuskan kluster jangkitan.



Kes 26 telah mengunjungi Shanghai, China pada pertengahan Januari sebelum dia mula mengalami gejala pada 27 Februari.

Dia kemudian mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Dia kemudian dirawat di Hospital Sungai Buloh setelah diuji positif dengan Covid-19, yang juga menyaksikan pihak berkuasa kesihatan berusaha untuk menguji semua kenalan rapat dan ahli keluarganya.

Mengulas lebih lanjut mengenai mutasi Covid-19 di negara ini, Noor Hisham mengatakan bahawa IMR telah membuktikan bahawa kebanyakan kes positif yang dikesan pada gelombang pertama dan bahagian awal gelombang kedua adalah dari Strain B.



Strain B adalah strain yang dapat dijejak dengan jangkitan di Wuhan, China, sementara Strain A kebanyakan dijumpai di AS, dan Strain C kebanyakan dijumpai di Eropah.

“Yang penting sekarang adalah melakukan penyelidikan mengenai gelombang kedua, yang melibatkan pesakit positif kita yang kembali dari negara-negara tertentu,” tambah Noor Hisham.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker