Saya mahu keadilan untuk arwah suami – Zetti Haryanti

ISTERI kepada mangsa yang maut akibat dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan, malam tadi, berharap suspek kejadian itu menerima hukuman sewajarnya.

Zetti Haryanti Hassan, 42, berkata hukuman itu diharapkan memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan kesalahan serupa, sehingga menyebabkan ada keluarga terpaksa kehilangan orang tersayang dan tulang belakang seperti dialaminya.

“Saya dan anak berharap arwah suami akan memperoleh keadilan. Arwah adalah anak, suami dan bapa yang baik serta bertanggungjawab malah kejadian berlaku semasa arwah dalam perjalanan mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya teringat betapa arwah bersungguh-sungguh mahu membeli rumah semasa kami berkahwin pada 2011 untuk memastikan kami mempunyai tempat berteduh yang sempurna,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Suaminya, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu oleh seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk pada kejadian jam 9.20 malam tadi.

Allahyarham Irwan Herman, seorang penyelia di Alam Flora Sdn Bhd sejak 2016, difahamkan dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Isap Perdana untuk ke tempat kerja di Gebeng.

Menurut Zetti Haryanti, sudah menjadi rutin setiap bulan arwah bekerja pada waktu malam mengikut jadual dan antara tugasan yang perlu dilakukan pada syif itu ialah ke depoh syarikat di Gebeng.

“Arwah seperti biasa sebelum bertolak ke tempat kerja. Arwah juga ceria semasa kami menyambut Aidilfitri di rumah ibu bapanya di Taman Guru di sini, walaupun arwah bekerja pada sebelah pagi.

“Cuma, sejak beberapa hari lalu, arwah akan terus tidur sebaik sahaja pulang dari tempat kerja dan saya beranggapan mungkin arwah keletihan,” katanya.

Zetti Haryanti berkata, beliau akan menjaga dua anaknya berusia lapan dan 14 tahun, termasuk seorang daripada perkahwinan terdahulu arwah, dengan pendapatannya sebagai peniaga.
HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker