Lelaki maut dirempuh pemandu lawan arus dipercayai mabuk di Kuantan

Seorang lelaki maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

“Mangsa yang memandu kereta Toyota Yaris difahamkan dalam perjalanan dari rumah beliau di Sungai Isap Perdana ke Gabeng kerana bekerja syif malam sebelum kenderaannya dirempuh sebuah kereta Toyota C-HR yang dipandu melawan arus dan dalam keadaan berbahaya.

“Kereta itu dipercayai mula dipandu melawan arus dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkannya hampir bertembung dengan beberapa buah kenderaan yang perlu mengelak daripada berlanggar,” katanya di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kereta Toyota C-HR itu dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dan bekerja sebagai peraih ikan yang dipercayai mengambil minuman keras di rumah kawannya di Semambu sebelum kejadian.

Lelaki itu turut cedera ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk pemeriksaan sebelum direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, mayat mangsa juga dihantar ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas selesai ujian Covid-19.

Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker