‘Senjata Ramadan’ mampu perangi wabak

Oleh Mohd Ajib Ismail

RAMADAN tahun ini tiba dalam keadaan dunia diuji dengan penularan wabak Covid-19. Walaupun suasana Ramadan kali ini mungkin berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, ia tidak menjadi alasan dan halangan kepada umat Islam untuk menunaikan rukun Islam yang ketiga ini dengan sempurna. Kita harus menginsafi dan mengambil iktibar terhadap situasi segelintir negara lain yang terpaksa menyambut ketibaan Ramadan dalam suasana konflik dan serba kedhaifan. Sekurang-kurangnya kita masih dapat meraikan ketibaannya dalam keadaan aman, harmoni, dan budaya saling memberi.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kebanyakan orang lebih masa di rumah yang boleh dimanfaatkan dengan memberikan lebih perhatian terhadap amalan-amalan wajib dan sunat sepanjang Ramadan. Ia juga memberikan lebih cabaran kepada ibu bapa dalam mendisiplinkan anak-anak bagi menjalani ibadah puasa dan menunjukkan contoh tauladan terbaik bagi mengimarahkan Ramadan bersama ahli keluarga.

Menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk mentaati perintah dan syariat berpuasa serta menghormati bulan Ramadan dengan menjaga adab yang telah ditetapkan. Rukhsah atau kelonggaran hanyalah diberikan kepada golongan tertentu dengan syarat yang ditentukan seperti firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 185 bermaksud “dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.



Berpuasa menjadikan kita lebih kuat untuk terus berjuang menempuhi ujian penularan wabak Covid-19 ini sama ada sebagai pesakit, petugas barisan hadapan mahupun warga masyarakat secara amnya. Kita harus mengambil iktibar beberapa peristiwa besar dan siri peperangan yang diharungi oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam bulan Ramadan seperti peperangan Badar. Inspirasi di sebalik peristiwa Badar Kubra seperti perjuangan pasti diuji, menlazimi syura, mentaati pemimpin, perancangan rapi dan berstrategi, munajat dan doa, bersangka baik dengan Allah serta bersatu hati boleh dipraktikkan dalam mendepani cabaran kini.

Suasana sambutan Ramadan yang berbeza kali ini juga memberi peluang untuk kita menilai kembali sama ada tradisi amalan yang dilaksanakan sebelum ini bersandarkan ibadah atau adat semata-mata. Ibadah di dalam Islam lahir daripada diri seseorang muslim kerana niat menjunjung perintah Allah SWT serta selaras dengan kehendak-Nya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, garis panduan khusus dikeluarkan bagi memastikan masjid dan surau tetap diimarahkan serta amalan bersedekah dan memberi sumbangan yang telah menjadi tradisi masyarakat di bulan Ramadan masih dapat diteruskan dengan mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)



HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker