Fakulti perubatan di Malaysia perlu ada ilmu tangani krisis

Share

Semua fakulti perubatan di Malaysia disaran untuk laksanakan pembelajaran berkaitan perubatan krisis bagi kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr. Adlina Suleiman menegaskan, bahawa ia bagi memberi pendedahan kepada graduan fakulti perubatan terutama dalam situasi genting seperti diduga dengan pandemik COVID-19.
“Selepas ini, graduan fakulti perubatan ini perlu lebih menerapkan kerja lapangan dan simulasi supaya mereka akan faham, kalau masa bencana ini, inilah yang perlu dilakukan.

“Di Malaysia ini, kita sentiasa menganggap bahawa kita sentiasa jauh daripada bencana terutama sekali bencana seperti gempa bumi, ribut dan puting beliung.


“Kita rasa kita tidak kena padahal kita sendiri pun tidak bersedia untuk itu. Sebaliknya kita hanya bersedia untuk banjir.

“Tetapi apabila berlaku sesuatu bencana besar seperti gempa bumi contohnya, itu kita dah kelam-kabut sikit. Jadi sekarang ini kita lagi kelam kabut dengan wabak ini kerana kita memang tidak bersedia,” jelas Dr. Adlina.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Adlina ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Rabu turut menyarankan agar kesemua penuntut universiti seharusnya meningkatkan pengetahuan bukan sahaja dari segi kesiapsiagaan bencana malah tanggungjawab sosial.


Katanya, dengan inisiatif tersebut, ia dapat mengimbangkan negara dalam menyesuaikan kesemua pihak untuk bertindak dan tidak hantar mengharapkan kepada pihak berkuasa semata-mata.

“Saya juga berpendapat bahawa kita patut meningkatkan pengetahuan dari kesiapsiagaan bencana, dan tanggungjawab sosial atau ‘social responsibilities’ semasa bencana kepada semua fakulti.

“Kesiapsiagaan ini bukan hanya tertakluk kepada fakulti perubatan tetapi kesemua fakulti.


“Ia supaya semasa bencana, secara spontan mereka boleh tahu apa yang perlu dilakukan semasa bencana ini.

“Mereka juga boleh jadi sukarelawan bagi membantu apa-apa yang diperlukan sebagai contoh membuat peralatan perlindungan diri (PPE), mengagih makanan, dan juga mengendalikan pusat kuarantin.

Tambah Dr. Adlina lagi, ini bagi memudahkan lagi kesemua lapisan masyarakat dapat memberikan bantuan mengikut bidang masing-masing.

“Dengan cara ini, contoh lain adalah bagi pelajar yang mengambil jurusan pengajian media, mereka juga boleh mengetahui bagaimana untuk bertindak sebagai contoh memperolehi maklumat yang mungkin tidak sahih, pastinya mereka ini tahu apa yang perlu dilakukan,” jelas beliau lagi,

Demikian itu, Dr. Adlina menjelaskan bahawa bagi melaksanakan kesiapsiagaan bencana ini, adalah pentingnya untuk kesemua pihak berbincang dan tubuhkan satu jawatankuasa khusus.

“Untuk bencana ni kita kena sama-sama duduk berbincang kena ada satu jawatankuasa pelaksanaan khusus kesiapsiagaan bencana dan tanggungjawab sosial.

“Pelaksanaan ini kalau boleh kita bentuk daripada akar umbi, budak kecil pun tidak apa sebagai contoh darjah satu.

“Ini supaya setiap peringkat umur boleh menjangkakan dan tidak terpinga-pinga seperti sekarang ini tentang mengapa mereka perlu dikuarantin dan sebagainya,” cadang Dr. Adlina lagi.

Leave a Reply