Covid-19 : 2 kematian, 71 kes baru. — MYKMU.NET

Covid-19 : 2 kematian, 71 kes baru.



Sebaran :

Seorang pegawai perubatan berusia 32 tahun antara 2 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia hari ini, menjadikan keseluruhan 95 kematian setakat ini.

Sebanyak 71 kes baru dilaporkan hari ini, tetapi jumlah pesakit sembuh lebih tinggi, iaitu 90 orang.

Ini adalah hari ke-7 berturut-turut kes baru mencatatkan 2 angka sejak 16 April lalu.



Sehingga kini, 3,542 pesakit atau 63.22% sembuh sepenuhnya, manakala 1,966 pesakit masih menerima rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 42 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi, dengan 21 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Keseluruhan rakyat yang dijangkiti Covid-19 di Malaysia sehingga hari ini berjumlah 5,603 orang.



Hisham berkata, anggota perubatan yang meninggal dunia itu mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 di kluster Hospital Pakar Muar, Johor.

“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April dan disahkan meninggal dunia pada 23
April 12.36 tengah malam.

“Ini merupakan kematian ke-3 di kalangan anggota kesihatan KKM,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.



Beliau berkata, satu lagi kematian hari ini membabitkan lelaki berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang.

Katanya, warga emas itu ialah kontak rapat kepada kes positif Covid-19 kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali.

“Beliau dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 11.48 malam.”



Hisham berkata, 185 daripada 325 anggota perubatan yang dijangkiti Covid-19 sudah sembuh.

Katanya, 70% daripada mereka dijangkiti Covid-19 kerana menghadiri majlis perkahwinan dan melancong ke luar negara.

Beliau mengingatkan petugas barisan depan dan kakitangan perubatan supaya sentiasa mencuci tangan, mengelakkan berada di tempat sesak seperti pantri dan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika merawat pesakit.



FMT


Sebaran :


Leave a Reply