15 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19



Sebaran :

Ketika petugas kesihatan bertungkus-lumus berkhidmat merawat pesakit Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah memberitahu 15 daripada mereka telah dijangkiti virus tersebut.

Daripada jumlah itu, 12 merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan tiga kakitangan kesihatan swasta.

Menurut Noor Hisham, salah seorang daripada 12 kakitangan KKM yang dijangkiti kini berada di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.



“Sehingga hari ini, 12 petugas kesihatan KKM dan 3 daripada sektor kesihatan swasta telah dijangkiti virus Covid-19.

“Salah seorang daripada 12 kakitangan KKM tersebut kini berada di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Virus ini tidak mengenal sempadan, tanpa mengira status bangsa, agama atau nilai harta anda, tambahan lagi jika anda seorang petugas kesihatan di barisan hadapan medan perang ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.



Pada masa sama, beliau sekali lagi merayu kepada orang ramai supaya berada di rumah sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.

“Bantu kami untuk membantu anda. Duduk di rumah,” katanya.

Setakat semalam, Malaysia telah mencatatkan 900 kes Covid-19 dengan dua kematian.



Pada 16 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Perintah berkuat kuasa selama 14 hari berkenaan antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.


Sebaran :


Leave a Reply