Kerajaan biaya kos makanan 60 ribu pelajar tinggal di kolej semasa perintah kawalan, kata Ismail Sabri

Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos makanan kira-kira 60,000 pelajar institusi pengajian tinggi yang tinggal di kolej susulan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah peruntukan bagi bantuan tersebut akan diumumkan selepas pengiraan kos dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Ramai pelajar yang tidak pulang dan tinggal di kolej masing-masing mempunyai isu tidak mampu membeli makanan dan sebagainya.

“Mesyuarat tadi membuat keputusan kerajaan akan menanggung sepenuhnya makanan untuk kesemua pelajar yang berada di kolej,” katanya yang juga menteri pertahanan pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri mengenai perintah kawalan pergerakan di sini, hari ini.



Jelasnya, kerajaan juga berterima kasih atas keprihatinan beberapa kerajaan negeri yang tampil membantu dengan memberi sumbangan kepada pelajar negeri mereka.

“Jadi selain bantuan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan melalui Nadma akan memberi sumbangan dan bantuan kepada para pelajar terbabit,” katanya.

Pada masa yang masa, beliau juga memaklumkan cuti sekolah akan diteruskan hingga 31 Mac dan ibu bapa juga tidak perlu datang ke pejabat kerana turut ditutup sehingga tempoh tersebut.

“Jadi arahan kita adalah ibu bapa yang anak mereka juga bercuti terus tinggal di rumah, di kampung masing-masing.



“Begitu juga pada mereka yang telah pulang ke kampung. Walaupun kita tak benarkan balik, tetapi ramai dah balik perlu tinggal di rumah, di kampung masing-masing dan tidak perlu pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker