Rumah SelangorKu: Lebih 200 pembeli ‘menangis’ dakwa kerajaan negeri lepas tangan

Share


Bersandarkan kepercayaan Skim Rumah Selangorku di bawah kerajaan negeri itu selamat, rata-rata pembeli terutama kakitangan kerajaan serta golongan muda teruja membeli rumah pertama mereka.

Bagaimanapun, harapan lebih 221 pembeli rumah itu di Residensi Jaya, Taman Juara Jaya, Cheras di sini berkecai apabila pemajunya BT Dutamas atau Jitu Enigma Sdn Bhd membuat deklarasi bankrap dan projek itu tidak dapat disiapkan.

Bagaimanapun, deposit sebanyak 10 peratus atau kira-kira lebih RM25,00 telah diambil pemaju daripada setiap pembeli sehingga anggaran kerugian mereka mencecah lebih daripada RM4.5 juta.

Rata-rata mereka yang merupakan kakitangan kerajaan telah menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun kedua bagi membayar deposit berkenaan selain daripada mendapatkan pinjaman jangka pendek.

Namun apa yang lebih memilukan hati, walaupun telah dijanjikan rumah itu siap pada tahun depan namun sehingga kini ia bukan sahaja terbengkalai malah pembeli terpaksa mencari sendir kepastian mengenai projek perumahan itu.

Jurucakap mewakili pembeli, Helmi Hamid berkata, pihaknya sudah cuba melakukan pertemuan dengan pemaju, Lembaga Perumahan Selangor, Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha selain wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan sebenarnya agak mengecewakan.

Lebih-lebih lgi apabila kerajaan negeri lepas tangan dengan mendakwa pihaknya hanya sekadar meluluskan projek Rumah Selangorku dan apa yang berlaku antara pemaju dan pembeli ditanggung pembeli.

“Kata mereka, hakikatnya mereka tidak ada kuasa. Tidak ada bon. Hanya sekadar luluskan pemaju-pemaju yang dirasakan boleh melaksankan projek perumahan bagi rakyat di negeri ini. Itu sahaja. Selebihnya kami tanggung.

“Akhirnya setelah di desak serta laporan polis di buat, pemaju tampil mengatakan mereka sudah bankrap dan memerlukan masa untuk memulangkan kembali wang deposit kami. Malah kata mereka wang itu hanya boleh dipulangkan sejurus selepas mereka dapat menjual tanah projek itu.

“Walaupun kata projek sudah bankrap tapi pemaju yang sama terus menjual unit rumah kepada pembeli lain, mahkamah sudah isytihar mereka bankrap tapi bagaimana pula mereka boleh terus jual? Ada sesuatu yang tidak betul.

“Apa yang jadi pada duit-duit yang dikutip itu? Apakah pemaju yang kaut untung atau ada ‘pihak’ lain yang ambil wang kami? Jika duit itu ada, tolonglah pulang kepada kami. Kami tidak boleh tunggu lama-lama.

“Sebelum menjelang PRU-14, kami didesak oleh pemaju untuk membayar deposit 10 peratus atau kami tidak akan dapat rumah, itu juga kami tidak tahu mengapa tapi fikirkan ianya bawah kerajaan negeri, kami tidak begitu risau.

“Sebenarnya, kami semua sudah mati akal. Kami buat sidang media hari ini kerana sudah tidak tahu hendak buat apa lagi.

“Kalau betul kerajaan Selangor kata hendak bantu rakyat, adakah ini caranya? Lepas tangan begitu sahaja. Projek kerajaan tapi tidak ambil bon sebaliknya hanya pinjamkan nama sahaja. Pelik betul. Tolonglah kami,” katanya dalam sidang media hari ini.

Rata-rata pembeli dalam kalangan pelbagai kaum terutamanya masyarakat Cina hadir ke sidang media itu dengan beberapa poster serta kain rentang menyoal tentang Skim Rumah Selangorku oleh kerajaan negeri.

Ketika ditemuramah, kebanyakan mereka mengakui itu adalah rumah pertama mereka.

Seorang wanita Cina yang mendekati wartawan MalaysiaGazette memberitahu, dirinya rasa sungguh tertipu dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Kata On Pei Lin, 43, dua orang anaknya yang baharu sahaja mula bekerja membeli unit di Residensi Jaya.

“Saya tidak galak anak-anak saya beli rumah kerana nama pemaju itu sebaliknya kerana ini di bawah kerajaan negeri. Rasa lebih selamat tetapi ini pula nasib kami. Sepatutnya kerajaan yang kami undi ini bantu kami bukan buat kami terkapai-kapai seperti ini.

“Anak-anak saya muda lagi, membeli rumah sebagai aset tapi bayangkan kami sudah rugi lebih daripada RM50,000 begitu sahaja. Untuk kumpulkan wang itu, kami bekerja begitu keras.

“Kami mempunyai harapan tinggi pada kerajaan tetapi mengapa kami terpaksa lalui perkara ini? Saya sendiri menghubungi Lembaga Perumahan Selangor tetapi jawapan mereka adalah untuk kami selesai sendiri. Pelik juga. Tolong jangan buat begitu,” tangisnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki yang hadir menemui para pembeli berjanji akan cuba sedaya upaya membawa perkara kepada pihak berkuasa secepat mungkin.

“Bagus juga pembeli ini terus tampil dengan lebih cepat supaya yang lain-lain tidak lagi di tipu, ada juga projek sehingga berbelas tahun namun tidak kunjung tiba juga.

“Saya juga akan bercakap dengan pihak berwajib seperti Exco Perumahan, YB Haniza dan juga KPKT. Hakikatnya, kita akan cuba selesaikan sedaya upaya supaya keadilan dapat di tegakkan,” ujarnya pada sidang media yang sama.

Semasa sidang media, seorang lelaki Cina yang juga warga emas secara tiba-tiba tampil mencabar Siew Ki sekiranya beliau boleh menyelesaikan masalah itu dalam tempoh sebulan.

“Kerajaan negeri dan pusat yang mana KPKT bawah kamu juga? Adakah kamu boleh selesaikan perkara ini? Ini sungguh menyusahkan dan merunsingkan. Adakah kamu boleh YB?

“Kamu semua sudah menang kerana kami, tolong selesaikan perkara ini,” tegasnya dalam keadaan marah sebelum ditenangkan oleh kaum keluarga dan kenalannya. – MalaysiaGazette



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *