Papagomo dikepung di KKIA: Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas – Asyraf

Share

Pemuda Umno berharap pihak berkuasa akan bertindak sewajarnya susulan anggota exconya Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa dikepung sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam.

Ketuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkannya sebagai tindakan jenayah dan rakaman video jelas menunjukkan ada provokasi dan serangan fizikal.

“Kami menyerahkan tindakan selanjut dan sewajarnya kepada pihak berkuasa agar segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit.

“Hakikatnya budaya politik samseng ganas selepas selesainya PRK Kimanis tidak sesekali mencerminkan sifat sebenar rakyat Sabah ‘original’ yang terkenal dengan masyarakatnya yang harmonis bahkan tinggi nilai kesantunannya, biarpun rencam dengan pelbagai etnik dan agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf mendakwa pihak yang terlibat adalah penyokong Warisan yang menyokong kerajaan negeri memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS), satu dokumen baru Jabatan Imigresen untuk pendatang asing bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Dalam kejadian semalam, Wan Muhammad Azri, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, yang bersama beberapa lagi dihampiri kira-kira 20 lelaki.

Pertelingkahan tercetus dengan kedua-dua pihak saling melontarkan kata-kata kesat, kata jurugambar FMT Mohamed Rabbani Jamian seperti dipetik laman itu.

Polis dilihat bergegas ke tempat kejadian sewaktu Papagomo ditarik ke pintu pelepasan jauh dari tempat kekecohan.

Papagomo yang ke Sabah untuk membantu kempen calon BN Mohamad Alamin dalam PRK Kimanis, pada Jumaat lalu mencetuskan kemarahan sejumlah pihak setelah mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dalam demonstrasi membantah Pas Sementara Sabah (PSS).

Dalam pada itu, Asyraf menyuarakan penghargaan kepada pihak keselamatan KKIA kerana segera meredakan keadaan tetapi pada masa sama berharap kerajaan negeri menambah baik sistem kawalan keselamatan di tempat awam.

“Kami mengajar rakyat Sabah dan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya budaya politik samseng ini, dan menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas,” katanya lagi- Mkini

Papagomo buat laporan polis, beliau ‘diserang’ di KKIA

Exco Pemuda UMNO Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, tadi, berhubung insiden beliau ‘diserang’ sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Muhammad Azri berharap polis akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kumpulan yang memukulnya.

“Saya harap pihak polis tak abaikan laporan ini walau siapa pun mereka yang bertindak ganas menyerang saya,” katanya melalui laman sosialnya, tadi.

Beliau juga meminta kepada semua agar tidak menyalahkan orang Sabah.

“Isteri saya orang Sabah, dia hubungi saya, menangis minta maaf kerana saya dipukul. Saya cakap bukan salah orang Sabah dan tak perlu minta maaf.

“Mereka yang pukul saya di lapangan terbang itu mungkin penyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya.

Muhammad Azri berkata, mereka masuk dalam lapangan terbang beramai-ramai dan menyerangnya.

“Budaya ini bukan budaya orang Sabah. Ada ‘kekebalan’ agaknya untuk mereka masuk ke dalam lapangan terbang dan menyerang saya,” katanya.

Sebuah laporan portal berita memaklumkan ketika kejadian Muhammad Azri mahu pulang ke Kuala Lumpur, beliau telah ‘dikepung’ dan menerima provokasi daripada sekumpulan lelaki terbabit.

Difahamkan, ia gara-gara beliau mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal ketika berkempen pada PRK Parlimen Kimanis.

Muhammad Azri juga kelihatan beremosi ketika menerima provokasi serta cuba melawan namun ditenangkan oleh sekumpulan ahli UMNO dan polis yang mengiringinya – Sinar

Leave a Reply