Azmin, sekutu tak mahu berada di dewan kerana Anwar gagal penuhi janji

Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan sekutu tidak mahu berada di dewan persidangan kongres nasional tahunan PKR kerana Presiden Anwar Ibrahim gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh kepada suatu perimeter ucapan.

Pada satu sidang media hari ini, Azmin bersama sekumpulan pemimpin parti dan wakil rakyat berkata majlis pimpinan pusat mencapai beberapa persetujuan minggu lalu, antaranya:

Perbahasan hanya akan tumpu kepada isu-isu dasar serta pengukuhan PKR.
Komposisi pembahas mewakili semua pihak, dengan jaminan membawa agenda parti.
Pembahas tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak.
“Presiden telah memberi jaminan bahawa semua pembahas akan mematuhi perimeter dan garis seperti yang dipersetujui,” kata Azmin.

Azmin berkata beliau sudah melaksanakan persetujuan itu dan ia boleh dilihat pada ucapan perasmian Kongres Pemuda dan Wanita yang menumpukan kepada penyatuan anggota dan peranan PKR dalam kerajaan.



“Ucapan presiden yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota PKR,” katanya.

Azmin berkata ini memperlihatkan Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh kepada perimeter yang dipersetujui.

Berikutan kejadian itu, adalah tidak munasabah baginya dan sekutu untuk terus berada di dewan kongres untuk mendengar kenyatan-kenyatan yang provokatif.

Ketika ditanya adakah beliau akan keluar parti selepas ini, Azmin menjawab: “Tidak”.



“Ini parti kita; ini parti yang kita bina selama 20 tahun.

“Kita pernah berdepan banyak krisis. Kami yakin krisis ini juga boleh diatasi.”

Beliau juga menafikan dakwaan seorang pemimpin PKR Johor bahawa satu kongres alternatif ada dirancang.

Beliau berkata hanya satu acara yang dianjurkan iaitu taklimat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk perwakilan PKR di Kuala Lumpur, terutama bagi mereka yang datang dari jauh.



“Saya sendiri undang Anwar menghadirinya.”

Ditanya adakah beliau dan pemimpin lain akan menghadiri kongres esok, Azmin berkata mungkin jika ada usaha untuk membetulkan keadaan.

Azmin berkata beliau dan pemimpin lain yang membina PKR semasa zaman yang mencabar “sayang parti” tetapi kesal “orang baru” cuba mengusir mereka apabila parti sudah kuat.

“Ini tidak adil. Kami dipanggil pengkhianat. ‘Pengkhianat’ inilah yang bina parti ini selama 20 tahun.”



Beliau tidak menamakan “orang baru” itu.

Azmin juga berkata beliau tidak akan memberikan sebarang kata dua kepada Anwar dan semua isu berbangkit harus dibincangkan.

“Anwar masih ketua saya, presiden saya.

“Sebab itu saya berunding dengan beliau dan bercakap dengannya. Saya akan terus berbuat demikian. Tiada masalah.”



Turut hadir pada sidang media hari ini Naib Presiden Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju, Ketua Wanita Haniza Talha dan timbalannya, Daroyah Alwi, dan Timbalan Ketua Pemuda, Hilman Idham.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker