#PAU2019 : PH Terbukti Gagal Urus Ekonomi Negara, Bukan Kerajaan Berjiwa Rakyat – Dr Zahid

Share

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menjamin masa depan yang gemilang bagi rakyat dan mungkin dapat memulihkan ekonomi negara dalam masa yang singkat berikutan kepincangan pentadbirannya.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia kini hilang kepercayaan banyak negara yang dahulunya menjadi pelabur utama negara berikutan ketidaktentuan dasar fiskal dan pengurusannya.

“Kerajaan dilihat mentadbir ekonomi negara secara terbalik atau ke belakang, dan dalam tempoh 18 bulan ia sudah menjual aset serta kepentingan negara berjumlah kira-kira RM33 bilion.

“Sungguhpun kelembapan ekonomi dunia dipersalahkan, kita masih tidak boleh menerima alasan ini sebagai sebab mereka menjual harta negara, lebih-lebih lagi unit amanah milik Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Berucap ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung ke-73 UMNO di sini, hari ini, Dr Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata taraf hidup golongan B40 dan M40 makin meruncing disebabkan kepincangan ekonomi sebegini.

“Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sama sekali gagal menurunkan harga barangan keperluan harian, dan rakyat tidak langsung mendapat apa-apa manfaat daaripadanya.

“Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pula dikurangkan kepada kira-kira 5 juta orang berbanding 7 juta di bawah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) manakala peruntukannya pula dipotong daripada RM6.8 bilion kepada RM5 bilion sahaja.”

Bagi petani, penternak dan nelayan, beliau berkata harga minyak sawit mentah pada bulan Mei 2018 adalah RM600 satu tan tetapi kini ia merosot kepada RM280, satu kos yang menjejaskan pendapatan 650,000 pengusaha kecil dan kira-kira 112,000 peneroka Felda di seluruh negara.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga katanya, pernah membuat bayaran bulanan sebanyak RM300 kepada golongan nelayan tetapi ia diturunkan kepada RM250 oleh PH, dan ramai yang kehilangan hak itu.

“Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pula terhimpit apabila bantuan bulanan mereka dikurangkan daripada RM350 kepada RM300. Guru KAFA pula pernah menerima agihan sekaligus sebanyak RM1,500 setahun kini hanya menerima RM1,200.

“Bayaran yang sama kepada imam, bilal dan siak turut dipotong daripada RM1,500 kepada RM1,200 setahun,” ujar beliau, sambil menambah bahawa kerajaan menggunakan alasan ‘tidak ada wang’ atau menyalahkan kerajaan silam untuk menutup segala pembohongan dan tipu dayanya.

“Apakah ini yang rakyat mahukan selepas mengundi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu. Adakah ini kerajaan berjiwa rakyat hari ini?”, katanya lagi.

UMNO katanya, tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat selama 61 tahun pemerintahannya, malah segala keluh-kesah mereka diperhalusi dan dipertimbangkan untuk penyelesaian.

“UMNO juga menghargai golongan muda dan simpati dengan nasib 10.8 peratus belia yang terpaksa menganggur walaupun dijanjikan sejuta jawatan baru. Ribuan pekerja kontrak kerajaan ditamatkan tugas manakala perkhidmatan awam dikecilkan saiznya.

“Inilah dilema kakitangan awam sekarang. Memang ada antara mereka mengundi PH pada pilihan raya umum lalu tetapi biarlah ia membawa kepada kesedaran untuk berpaling semula kepada BN pada PRU akan datang,” ujarnya lagi.

Dr Zahid turut menyebut bahawa kadar pengangguran sebanyak 10.8 peratus di Malaysia adalah lebih tinggi daripada 5.9 peratus di Thailand dan 7.9 peratus di Vietnam.

Menurut Jabatan Statistik, seramai 516,000 rakyat Malaysia menganggur dalam suku pertama 2019.

“Jadi, bagaimana hendak kita sandarkan harapan jika kepincangan serupa ini bakal menjerumuskan negara dan rakyat ke kancah yang lebih sukar.

“Ekonomi negara makin merudum saban hari. Hutang negara bertambah dan kerajaan menggunakan alasan untuk membayar hutang bagi menyembunyikan segala kelemahan dan kepincangannya,” bidasnya. – UMNO ONLINE

(Visited 11 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!