Usah sorok dalam FB

ADAKAH jatuh talak taklik dalam situasi suami mencurigai isterinya di media sosial dengan mengatakan: “Jangan cuba hendak sorok sesuatu daripada saya, jika tidak, jatuh talak satu ke atas awak.”

Suami hanya berprasangka terhadap isterinya yang tidak memberikan peluang melihat kandungan mesej di Facebook.

Perkara itu mengundang rasa marah dan tidak puas hati sehingga terkeluarnya penyataan sedemikian.

Seandainya tiada berlaku sebarang perkara yang dianggap curang, adakah lafaz taklik itu dianggap tidak menjejaskan talak?



Ingin Tahu, Sepang

Taklik talak adalah apabila suami menggantungkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada berkaitan perbuatan isteri atau orang lain.

Sahnya taklik talak apabila berlaku sifat atau syarat yang disebutkan suami. Itu pandangan yang disepakati jumhur fuqaha.

Pandangan itu bersandarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 229, yang bermaksud: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika kedua-duanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya dan sesiapa yang melanggar aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”



Taklik talak mempunyai syarat sah sebelum taklik berkenaan dianggap sah dan dikuatkuatkuasakan oleh syarak. Antara syarat sah itu adalah perkara yang menjadi sandaran (al-muʻallaq ʻalayh) belum berlaku ketika suami melafazkan taklik.

Syarat seterusnya ikatan perkahwinan di antara pasangan masih berlangsung sama ada secara hakiki atau hukmi ketika suami melafazkan taklik kepada isteri.

Syarat sah ketiga iaitu, perkara yang menjadi sandaran (al-muʻallaq ʻalayh) boleh berlaku pada masa terkehadapan dan bukan perkara yang mustahil.

Seterusnya, syarat sah keempat adalah perkara yang menjadi sandaran (al-mu’allaq ‘alayh) adalah perkara yang diketahui.



Oleh itu, mana-mana lafaz taklik talak yang memenuhi syarat sah itu akan menggugurkan talak sebagaimana yang dinyatakan suami.

Antara hikmah pensyariatan dan keharusan taklik dapat dijadikan sebagai satu cara suami mendidik isteri.

Isteri dapat dididik oleh suami dalam mengawal tingkah lakunya yang agak keterlaluan melalui peringatan dan amaran yang terkandung dalam taklik.

Peringatan dan amaran suami kepada isteri dapat difahami menerusi talak yang disandarkan kepada perbuatan isteri.



Suami contohnya melarang isteri daripada menerima sebarang tetamu lelaki yang bukan mahramnya semasa ketiadaannya di rumah.

Isteri akan lebih berhati-hati dan mengambil berat terhadap amaran dan peringatan yang diberikan suaminya kerana keengganan isteri mematuhi perintah suami dengan melanggar taklik yang dibuat akan membubarkan perkahwinan di antara mereka.

Walau bagaimanapun, dalam situasi persoalan yang diajukan pembaca, maksud pada lafaz taklik yang disebutkan suami mengenai ‘sorok sesuatu daripada suami’ hanya diketahui oleh suami.

Apakah yang dia maksudkan dengan sesuatu itu? Jika dilihat kepada syarat sah taklik talak di atas, syarat sah pertama hingga ketiga sudah dipenuhi.



Melainkan syarat sah taklik yang keempat. Pengetahuan mengenai ‘sesuatu’ perkara yang suami maksudkan disorok atau disembunyikan itu bergantung kepada niat dan maksud suami.

Jika isteri tidak melakukan perkara yang suami maksudkan itu, maka tidak gugurlah talak terhadap isteri.

Jika isteri mengetahui secara jelas apa yang dimaksudkan tegahan suami lebih mudah untuk dijelaskan atau isteri boleh berhati-hati dalam perbuatannya.

Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker