Rakyat mangsa manipulasi ekonomi

An investor monitors share market prices at a brokerage firm in Kuala Lumpur, Malaysia, August 24, 2015. REUTERS/Olivia Harris
MANIPULASI ialah senjata paling ampuh dalam politik bagi mempengaruhi dan menguasai pola fikir rakyat bagi tujuan menjatuhkan sesebuah kerajaan. Manipulasi ekonomi pula menjadi taruhan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat kepada tadbir urus negara.

Kestabilan ekonomi merupakan elemen terpenting bagi sesebuah kerajaan dan negara. Kerajaan yang stabil merupakan kerajaan yang merajai ekonomi dan merakyat ke seluruh negara. Oleh sebab itu agenda memperkasakan ekonomi negara selayaknya menjadi keutamaan kerajaan hari ini.

Risiko kepada ketidakstabilan ekonomi telah berlaku sejak Mei 2018 apabila kerajaan mengorkestra dan memanipulasikan fakta ekonomi kononnya hutang negara berjumlah RM1 trilion dan Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) dilancarkan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Walaupun sudah melebihi 400 hari menjadi kerajaan, keadaan ekonomi negara masih berada dalam kesamaran.

Rakyat memerhati dan menilai apakah kerajaan hari ini `cakap tak serupa bikin’ atau sebaliknya. Slogan ‘Selamatkan Malaysia’ yang dilaungkan selama ini semakin pudar sinarnya. Kehidupan rakyat khususnya B40 semakin terhimpit, subsidi dan bantuan kewangan kepada petani dan nelayan dipotong. Ribuan pekerja kontrak diberhentikan, saiz kakitangan awam ingin dikurangkan dan kadar pengangguran golongan muda pada kadar 10.8 peratus, lebih tinggi berbanding Thailand (5.9 peratus) dan Vietnam (7.9 peratus).



Ranking terkini yang diterbitkan oleh badan analisis indeks Islamicity Foundation menunjukkan bahawa negara kita telah jatuh merudum bagi empat indeks berbeza. Keempat-empat indeks tersebut ialah Indeks Economy, Indeks Political Rights, Indeks International Relations serta kedudukan keseluruhan kita dalam Islamic Index berbanding 152 negara lain di dunia. Berbanding tahun 2017, indeks ekonomi kita jatuh sebanyak tujuh anak tangga iaitu dari tangga ke-24 (2017) ke tangga ke-31.



Bloomberg melaporkan prestasi pasaran saham Malaysia tahun ini antara terburuk di dunia dengan modal pasaran Bursa Malaysia susut RM157 bilion sejak PRU-14 manakala penanda aras pasaran FBM KLCI ditutup pada 1,629 mata berbanding 1,846 mata sebelum 9 Mei 2018.

Paling membimbangkan pengumuman kerajaan untuk menjual aset-aset penting negara bagi mengurangkan hutang negara. Menurut pensyarah Sains Politik UKM, Abdul Muein Abadi “Risiko dan masalah yang bakal dihadapi oleh kerajaan contohnya perangkap geopolitik jika bertindak menjual aset negara dengan terlalu banyak dalam masa yang terlalu cepat, perangkap kuasa lunak (soft power) dan kuasa penembusan asing (sharp power)”.

Apakah yang rakyat dapat daripada penjualan aset-aset strategi tersebut khususnya aset yang berkaitan dengan orang Melayu dan Bumiputera? Rancangan kerajaan hendak menjual aset Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) adalah tindakan yang menodai kepentingan dan amanah bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Aset tersebut yang dikenali sebagai trust agencies atau agensi amanah ialah hasil daripada manfaat ekonomi yang dilakukan semasa pemerintahan kerajaan BN untuk meningkatkan ekonomi negara dan rakyat.



Lakaran sejarah memperlihatkan Nabi Yusuf a.s yang membawa misi islahi menyelamatkan ekonomi Mesir adalah ikon dan watak yang perlu diteladani. Watak penting yang dimiliki oleh Nabi Yusuf a.s dalam menguruskan kemelut ekonomi Mesir ialah HAFIZ dan ALIM (Kejujuran dalam melaksanakan amanah dan berpengetahuan serta berkemahiran berkaitan pengurusan ekonomi).

Pendekatan yang ditekankan oleh Nabi Yusuf a.s dengan gesaan “apabila datang musim menuai, jangan semua hasil yang dituai untuk dijadikan makanan, sebaliknya perlu ada yang disimpan untuk digunakan pada jangka masa panjang, selain untuk dijadikan benih”. Membelanja, menyimpan serta melabur menjadi pendekatan Nabi Yusuf a.s bagi memperkukuhkan ekonomi Mesir bukannya dengan cara menjual aset negara.



Memahami denyut nadi golongan muda berhadapan dengan kesukaran dan kemelut kewangan, UMNO akan memperkenalkan dan menjadikan kesukarelawan ekonomi sebagai model people economy, yang berorientasikan rakyat dan orang muda bagi menambah pendapatan. Landskap kesukarelawan bukan sahaja berbentuk kebajikan dan aktiviti semata-mata tetapi mampu menjadi sumber pendapatan.



Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa akibat keghairahan memanipulasikan fakta ekonomi. Ambil peduli amaran Rasulullah SAW yang bermaksud “Jika sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran”. 
(HR Bukhari)

AHMAD ZAHID HAMIDI

#demiummah
#akhiratdidepan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker