Bersyukurkah kita?

Share

SETIAP manusia dianugerahkan nikmat yang banyak melalui tubuh badannya. Terpulanglah kepada masing-masing sama ada hendak menggunakan tubuh badannya itu untuk kebaikan atau sebaliknya.

Antara anggota badan kita yang menyumbang saham terbesar dalam kehidupan ialah lidah. Lidah tidak bertulang tetapi pengaruh lidah lebih tajam daripada pedang.

Anggota sekecil lidah boleh berdiri dengan sendiri untuk membina atau meruntuhkan sesebuah institusi. Contohnya, seorang suami menggunakan lidahnya untuk memarahi isteri. Dia juga boleh menggunakan lidahnya untuk memuji isteri.


Dengan lidah, seorang majikan boleh menuturkan kata-kata kesat kepada pegawai bawahannya. Dengan lidah juga seorang majikan boleh menuturkan kata-kata berhikmah untuk menghargai para pekerjanya.

Oleh sebab itu, uruslah lidah dengan baik. Hubungkan fungsi lidah dengan akal supaya kita tidak mudah menggunakan lidah untuk keburukan dan kejahatan.

Manfaatkan lidah yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk perkara-perkara kebaikan seperti berzikir, berpesan-pesan ke arah kebaikan dan mensyukuri nikmat-Nya.


Kita ada mata untuk melihat, memandang dan memerhati nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya.

Sebagai hamba-Nya, kesyukuran mesti ditunjukkan kepada Yang Maha Esa melalui nikmat mata yang dikurniakan. Ada manusia yang menggunakan nikmat mata untuk melihat maksiat secara langsung, maksiat dalam Internet atau maksiat dalam majalah.

Maksudnya, dia telah menyalahgunakan nikmat tersebut. Walau bagaimanapun, masih ramai hamba Allah yang taat dan memanfaatkan nikmat mata dengan betul dan amanah.


Allah berfirman: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu; Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim: 7)

Kita ada dua telinga. Adakah kita pernah bersyukur dikurniakan nikmat ini? Cara paling mudah untuk mensyukuri nikmat ini adalah dengan menggunakannya pada jalan diredai Ilahi, umpamanya mendengar bacaan al-Quran dan mendengar nasihat.

Tangan yang kita miliki ini, adakah kita bersyukur pada Allah dengan melakukan kerja-kerja yang halal? Contohnya menghulurkan sedekah, membantu orang yang memerlukan dan memudahkan urusan orang lain.

Selain itu.,adakah kita sering bersyukur dikurniakan sepasang kaki yang sempurna lagi menyempurnakan? Bayangkan orang kurang upaya (OKU) yang tidak sesempurna kita. Mereka tidak dapat bergerak dengan mudah sedangkan kita tidak pernah merasai pun penderitaan sebegitu.

Oleh sebab itu, bersyukurlah kepada Tuhan yang memberikan nikmat yang besar ini. Hayunkanlah langkah kaki kita ke masjid dan tempat-tempat yang membawa ganjaran di sisi Allah.

Utusan

Leave a Reply