#PrkTgPiai : Medan Eksperimen

Tanjung Piai medan eksperimen?

ANTARA faktor Allahyarham Datuk Dr. Farid Md. Rafik, 43, menang di Tanjung Piai adalah kerana beliau anak tempatan.

Anak kepada wanita UMNO itu dikenali di Tanjung Piai sebelum masuk ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pesaing Bersatu iaitu UMNO/Barisan Nasional (BN) barangkali boleh menggunakan faktor calon tersebut untuk diketengahkan.

Berdasarkan statistik, pengundi Melayu mempunyai majoriti terbesar di situ sebanyak 56.80%. Menjadi kebiasaan jika pengundi Melayu adalah majoriti, maka calon yang diketengahkan juga perlulah berbangsa Melayu.

Dikatakan UMNO telah lama menuntut kerusi Tanjung Piai. Namun ada dasar kesefahaman dan konsensus di pihak nasional, maka kerusi itu diberikan kepada MCA sejak 2004 – yang ketika itu Tan Sri Ong Ka Ting menyandang kerusi tersebut.

Waima apa pun keputusan di Tanjung Piai tidak akan mengubah kedudukan bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat kerana BN dan pembangkang ditinggalkan begitu jauh. Namun Tanjung Piai boleh menjadi medan ujikaji atau eksperimen mengenai sama ada Piagam Muafakat Nasional UMNO-Pas tempoh hari sudah mencukupikah untuk persediaan menjadi kerajaan ataupun formula itu akan gagal?

Pada masa sama Tanjung Piai boleh dijadikan pemangkin semangat kepada UMNO/BN Johor yang kalah mengejut dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), apa lagi ia merupakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pertama di Johor setelah 9 Mei 2018.

SENTIMEN SOKONGAN CINA

Maka kerusi Parlimen itu dilihat platform yang tepat untuk melihat sama ada sokongan kaum Cina kepada BN akan meningkat atau sebaliknya memandangkan Tanjung Piai mempunyai populasi pengundi Cina yang tinggi iaitu 41.64%.

Sekiranya BN masih kalah dan kaum Cina menolak BN pada PRK ini, formula lain perlu digarap bagi memastikan persediaan BN pada PRU-15 akan terus diperkasakan.

Amati keputusan PRU-14 di Tanjung Piai berikut:

Dari matematik mudah, dicampur keputusan calon MCA (BN) dan Pas 20,731 + 2,962 = 23,693, maka jumlah tersebut mengatasi undi yang diperoleh arwah Md. Farid yang menang dengan majoriti undi 524.

CALON LANGSUNG?

Adakah UMNO/BN akan sekali lagi menggunakan calon langsung (direct candidate) seperti mana dipraktikkan di Cameron Highlands dengan mencalonkan Orang Asli tempatan yang mempunyai pangkat tinggi dalam pasukan Polis sebagai calon. Konsep dan formula sama boleh digunakan dengan mengenal pasti anak jati Tanjung Piai sama ada daripada latar belakang profesional mahupun penjawat awam yang dihormati, untuk ditawarkan secara calon langsung BN.

Atau apakah UMNO akan meletakkan calon parti itu, sekali gus mengetepikan status quo MCA?

Ada berpandangan, elok diberi peluang kepada MCA untuk membuktikan penyatuan ummah UMNO-Pas benar-benar mencerminkan Muafakat Nasional sejati. Ini kelak akan memupuk keyakinan pengundi bukan Melayu untuk cenderung menilai keikhlasan UMNO-Pas, apatah lagi jika calon MCA menang di Tanjung Piai.

Jika begitu, siapa calon MCA berkenaan? Adakah anak tempatan atau calon daripada luar Johor. Atau muda berjawatan daripada kalangan wanita seperti Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting, 39.

Ketika mengulas Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, Nicole, anak kelahiran Kulim, Kedah ini secara terbuka tanpa ragu-ragu menyifatkan ia bukan sahaja mewakili MCA, malah seluruh rakyat Malaysia pada masa kini dan akan datang.

Begitupun gelanggang PRK bukan medan untuk bereksperimen. Keberanian BN tempoh hari di Cameron Highlands mengetepikan kerusi tradisi yang disandang MIC membuahkan hasil – dengan berpijak di bumi nyata, realistik dan praktikal. Asalkan calon itu diyakini menepati piawaian cita rasa rakyat, letakkanlah dia dalam gelanggang, biar menang sekalipun cuma satu undi.

Apatah lagi ada menganggap sentimen orang Melayu hari ini kelihatan milik ‘gelombang’ HPU UMNO-Pas. Lantaran itu jika dipersetujui secara konsensus oleh MCA bahawa calon di Tanjung Piai daripada UMNO, siapalah agaknya pilihan UMNO?

Adakah empat nama yang tersenarai berikut?

a) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (bekas Menteri Besar Johor/ Naib Presiden UMNO)

b) Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO)

c) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ( Ketua Pemuda UMNO Malaysia)

d) Mohd. Hairi Mad Shah (Ketua Pemuda UMNO Johor)

Pemerhati melontarkan kepada akhbar ini bahawa calon-calon berkenaan merupakan figura penting UMNO sama ada di peringkat nasional dan Johor. Suara mereka perlu diangkat untuk memastikan kekuatan UMNO/BN di Parlimen terus diperkukuh sekali gus memberi tekanan ke atas Kerajaan Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan sedang bergolak dengan isu ‘PM-8’ selain tekanan bagi menunaikan janji-janji manifesto PRU-14,” kata pemerhati.

Dikatakan situasi di Johor ‘agak merumitkan’ dengan Pakatan Harapan tidak diketuai Menteri Besar seperti kebiasaan di negeri-negeri lain. Menteri Besar Johor juga tidak memegang sebarang jawatan dalam PPBM.

Dan ini didakwa menjadikan PPBM terpecah dua antara team MB dan team YB Mazlan Bujang (Pengerusi PPBM Johor).

Digawatkan lagi jika diambil sampel kes di PRK Semenyih apabila PPBM bertanding, parti-parti komponen PH yang lain seperti DAP, Amanah, PKR tidak terlalu membantu.

Ini berbeza sekali dengan UMNO/BN yang dibantu oleh semua parti komponen daripada negeri-negeri lain, selain bantuan tidak berbelah bahagi daripada Pas.

“Apa pun bagi BN, kerusi Tanjung Piai merupakan turning point kepada MCA. Jangan hanya menang sorak. Baik PH mahupun BN, kedua-duanya tidak boleh bereksperimen meskipun ia sekadar PRK biasa.

“Ingat apa sudah jadi apabila DAP bereksperimen meletakkan seorang gadis bertanding di PRK Parlimen Teluk Intan pada 2014?” kata pemerhati.

Zulkifli Jalil
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker