#HPU914: Selamatkan Malaysia Dari Dap, Gesa Bekas Pemikir Publisiti Pengundi Melayu Dap

Share


Bekas Pemikir Publisiti Pengundi Melayu Dap, Amran Ahmad berharap penyatuan ummah yang akan dimeterai pada Sabtu ini, 14 September menjadi titik bermulanya kebangkitan semula politik Melayu-Islam ke arah menyelamatkan Malaysia dari Dap.

Amran yang juga bekas Timbalan Pengerusi Biro Buruh Dap menyeru UMNO dan PAS bersatu serta mengatur dan merancang sebaik mungkin, ketepikan soal kepentingan sendiri demi agama, bangsa dan negara supaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak dapat menyelamatkan Malaysia dari Dap, musuh yang nyata untuk semua rakyat negara ini.

“Sudah pasti, yang paling gelabah apabila Melayu-Islam kembali bersatu ialah Dap, sebab Dap tahu pengundi Cina dan India tidak akan sokong mereka lagi jika kuasa politik orang Melayu menjadi kuat pada PRU akan datang.

“Bila Melayu bersatu, bangsa Dap jadi takut – suara mereka tiada dalam kerajaan – jadi mereka tak akan undi parti penipu anak-beranak LKS-LGE (Lim Kit Siang-Lim Guan Eng) lagi dan mula tercari-cari semula MCA atau MIC.

“Realiti hari ini – hanya mereka yang buta dan pekak sahaja akan undi Dap setelah satu Malaysia ditipu hidup-hidup dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan kini mentadbir negara sebagai sebuah kerajaan yang gagal,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Amran yang juga anak kepada bekas Naib Pengerusi Dap, Ahmad Nor berkata Dap yang menerajui PH bukan sahaja gagal menunaikan manifesto malah hingga ke tahap menggugat kesucian agama Islam dan mahu menghakis hak-hak orang Melayu/Bumiputera.

“Mana tak gagal, bukan sahaja tak hapuskan tol, mansuhkan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), turunkan harga minyak, hapuskan hutang peneroka Felda dan sebagainya, sebaliknya nilai ringgit makin menjunam, hutang negara mencanak naik, orang menganggur makin ramai dan harga barang serta kos sara hidup terus naik.

“Lebih dari itu, bila Putrajaya dikuasai ahli Parlimen bukan Islam yang ikut telunjuk Dap, rakyat Melayu-Islam terbukti ditindas dan kedudukan agama Islam kian tergugat sampai perpaduan negara kini diibarat telur di hujung tanduk,” bidasnya.

Dalam media sosialnya itu juga, Amran memuat naik videonya yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta menyatakan kekesalan kerana pernah bersekongkol bersama Dap dan PH atas tindakannya menyebar janji-janji manifesto PRU-14 PH selepas beberapa jam ia dilancarkan secara rasmi.

“Saya bersembang dengan beberapa pemimpin Dap dan bertanyakan kepada mereka apakah kemampuan Pakatan Harapan untuk menunaikan janji-janji tersebut. Dan lebih mengejutkan manifesto tersebut dibuat dengan harapan PH kalah pada PRU-14, sebab itu boleh janjikan bulan dan bintang!

“Bila PH tidak mampu menunaikan manifesto mereka, maknanya rakyat telah ditipu. Bila telah menang mereka melupakan segala-galanya. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘Sesal dahulu pendapatan’…

“…tetapi ingat, kita ada satu lagi peluang untuk tidak menyesal di kemudian hari dengan tidak mengundi PH ataupun pakatan palsu ini pada PRU-15 akan datang atau mana-mana pilihan raya kecil yang mungkin akan berlangsung,” tegasnya lagi.

Bekas ahli seumur hidup Dap itu juga berjanji kepada rakyat Malaysia akan membantu menjadikan negara lebih baik tetapi bukan menerusi platform PH. – UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *