Isu kafir sudah selesai – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menganggap isu kononnya Pas pernah melabelkan UMNO sebagai kafir sebelum ini sudah selesai bagi pandangan kedua-dua buah parti Melayu terbesar itu.

Malah, jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, isu berkenaan tidak pernah menjadi kekangan bagi kedua-dua parti menganjurkan program Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung selama dua hari bermula esok.

“Masalah itu sudah selesai dan kita tidak pernah menimbulkan perkara itu sebagai kekangan terhadap program Himpunan Penyatuan Ummah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Online di pejabatnya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan berkata, meminta Pas menarik balik kenyataan yang melabelkan UMNO sebagai kafir sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam, Sabtu ini.



Jelas Dr. Mahathir, amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih relevan kecuali beliau membuat kenyataan rasmi memohon maaf terhadap UMNO.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, Pakatan Harapan (PH) perlu menyelesaikan isu dalam kalangan mereka terlebih dahulu sebelum meminta mana-mana parti dalam kerjasama baharu yang diwujudkan menjawab perkara yang ditimbulkan mereka.

“Saya berpendapat pakatan mereka juga menghadapi masalah, DAP juga dilabel oleh seorang pemimpin yang ada dalam kerajaan sekarang sebagai sebuah parti cauvinis Cina dan tuduhan itu belim pernah ditarik balik.

“Ada juga parti yang dianggap sebagai tiada ideologi kerana memperjuangkan nasib seseorang, semua itu mesti dijawab oleh mereka sebelum meminta mana-mana parti dalam kerjasama baharu menjawab perkara yang ditimbulkan itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker