Pertuduhan Rogol : Saya tidak perlu bercuti – Paul Yong

Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong menegaskan yang beliau tetap menjalankan tugasnya seperti biasa meskipun sedang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia di mahkamah.

Menurut Choo Kiong, tiada sebab untuk beliau berhenti daripada tugasnya sebagai Exco kerana pertuduhan tersebut masih belum terbukti dan beliau juga bukanlah seorang penjenayah.

“Saya mesti (meneruskan tugas), saya tidak buat apa-apa dan mengapa saya perlu bercuti? Saya bukanlah penjenayah dan hukuman juga belum dijatuhkan.

“Saya masih lagi Exco kerajaan negeri, rakyat telah memberi mandat dan saya akan meneruskan perkhidmatan untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Mahkamah Sesyen di sini hari ini.



Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu, beliau yakin terdapat muslihat dalam kes melibatkannya itu dan percaya ia mempunyai kaitan dengan agenda politik pihak tertentu.

Malah katanya, dia sendiri mengesyaki individu yang terlibat namun tidak mempunyai bukti kukuh bagi dakwaan tersebut.

“Saya sebenarnya boleh syak siapa yang terlibat tetapi saya tiada bukti yang kukuh, jadi saya tidak boleh bongkarkan di sini.

“Dalam kes ini, apa yang saya nak katakan adalah amat jelas sekali ada muslihat di sebalik kes ini di mana terdapat agenda politik,” katanya.



Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan pihak polis sepanjang mengendalikan siasatan kes berkenaan yang didakwa dilakukan secara tidak profesional.

Katanya, kertas siasatan kes tersebut telah dipulangkan kepada pihak polis sebanyak tiga kali namun dalam tempoh itu pasukan penyiasat tidak memanggilnya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kalau polis menjalankan siasatan dengan profesional, maka saya tidak akan dituduh di mahkamah seperti hari ini.

“Siasatan belum dibuat dengan sempurna, cuma dengar satu pihak di mana polis telah anggap pembantu rumah itu sebagai mangsa dan saya pula sebagai penjenayah. Ini adalah tidak adil. Siasatan kena buat secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker