KLIA masih alami gangguan sistem

Share


Gangguan sistem yang antara lain menyebabkan kelewatan penerbangan, masih berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, setakat jam 6 pagi tadi, pasukan mereka masih berusaha menstabilkan sistem berkenaan.

Katanya, penumpang dinasihatkan supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurang empat jam sebelum waktu pesawat mereka berlepas.

MAHB juga menyediakan empat bas tambahan bagi memudahkan pergerakan penumpang ke pesawat yang diletakkan jauh dari Terminal Utama berikutan masalah teknikal, selain menggunakan kesemua 38 ‘bays’ di Terminal Utama KLIA.

Katanya, semua ‘bays’ itu digunakan untuk menampung pesawat yang tidak dapat ke pintu dijadualkan kerana kawasan berkenaan masih digunakan oleh pesawat yang tidak dapat meneruskan penerbangan.

Keadaan hari kedua berikutan gangguan menjejaskan beberapa sistem seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di KLIA, hari ini. – NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
“Berikutan itu, kami menyediakan bas untuk membawa penumpang ke pesawat yang berada jauh dari terminal. Ini bagi memudahkan aliran penumpang di pintu terjejas dengan penerbangan yang tertangguh.

“Kami juga memanjangkan tempoh operasi di semua lapangan terbang seluruh negara sejak malam tadi untuk menampung semua penerbangan yang berlepas dari Kuala Lumpur.

“Selain itu, kami menyediakan tempat parkir kenderaan percuma untuk semua penumpang yang meletakkan kenderaan mereka di Terminal Utama KLIA (Blok A,B,C,D) pada jam 6 pagi tadi kerana ramai yang terpaksa menghadapi kelewatan penerbangan,” katanya.

MAHB berkata, pihaknya memohon maaf atas kesulitan dihadapi semua penumpang.

“Diharapkan penumpang dapat membuat pendaftaran masuk melalui aplikasi mudah alih atau laman web syarikat penerbangan masing-masing.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, turut membuat tinjauan bagi melihat keadaan di KLIA, pagi ini, bersama Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Melalui status dimuat naik dalam laman Facebook beliau, Loke berkata, pihak MAHB sedang giat berusaha memperbaiki keadaan dan menangani masalah yang berlaku.

“Pegawai MAHB sudah memberi taklimat ringkas mengenai perkembangan di KLIA. Dimaklumkan bahawa MAHB sudah menjalankan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan, termasuk penggantian perkakasan yang bermasalah.

“MAHB sudah melanjutkan waktu operasi untuk menyelesaikan masalah ini. Kami berharap masalah ini boleh diselesaikan secepat mungkin.

“Terima kasih kepada pekerja lapangan terbang KLIA/klia2 yang bekerja lebih masa untuk memperbaiki keadaan ini,” katanya.

BH semalam melaporkan KLIA menghadapi masalah teknikal sejak malam kelmarin.

Masalah teknikal itu berpunca daripada mesin pelayan komputer di KLIA menyebabkan kemudahan WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan serta kaunter daftar masuk bagasi terganggu.

BH



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *