Kekuatan UMNO-Pas Gerunkan PH, Bersatu

KUALA LUMPUR 7 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kekuatan gabungan UMNO dan Pas melalui gerakan Perpaduan Ummah dilihat telah menggerunkan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, hal itu menjadi sebab mengapa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru ahli-ahli UMNO dan orang Melayu menyertai Bersatu.

“Saya setuju perpecahan yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan perjuangan peribadi sehingga orang Melayu berpecah kepada enam parti.



“Tetapi jika kita lihat hari ini, penyatuan UMNO dan Pas semakin kuat sehingga pihak yang menentang berasa lemah dan terpaksa mencari bantuan sokongan serta beretorik menggunakan nama ‘Melayu’.

“Perjuangan Bersatu yang kita lihat pada hari ini tidak ikhlas dalam memperkasakan bangsa Melayu yang telah diperkotak-katikkan oleh DAP sehingga Bersatu gagal mengangkat bangsa Melayu dan bumiputera itu sendiri,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh UMNO Online hari ini.

Pada Jumaat ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor, Dr. Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Katanya perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam yang dipercayai merujuk kepada beberapa parti utama yang berasaskan orang Melayu seperti Bersatu, UMNO, Pas, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)



Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, UMNO dan Pas tidak akan melutut setelah berjuang habis-habisan untuk mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera dan tanah air.

“Gabungan UMNO-Pas merupakan parti Melayu terbesar iaitu menguasai undi Melayu sebanyak 75 peratus di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), manakala Bersatu hanya memperoleh 10 peratus pengundi Melayu,” tambahnya.

Maka tegas beliau, adalah wajar lebih wajar Bersatu menyertai UMNO, bukan sebaliknya, lebih-lebih lagi Bersatu merupakan serpihan UMNO.

“Tindakan Dr. Mahathir ini juga dilihat sebagai tindakan terdesak Bersatu akibat kegagalan mereka menarik sokongan orang Melayu untuk menyertai Bersatu dan meninggalkan UMNO,” ujarnya.



Kata Ahli Parlimen Bera itu lagi, setakat ini difahamkan tiada cawangan-cawangan UMNO dibubarkan akibat ahli-ahli menyertai Bersatu.

“Malah difahamkan hampir keseluruhan cawangan-cawangan Bersatu tidak cukup ahli untuk mengadakan mesyuarat cawangan-cawangan. Selagi ada UMNO selagi itulah orang Melayu akan terus menyertai parti UMNO dan tidak parti lain.

“Jadi sekali lagi saya katakan bukan UMNO yang sepatutnya menyertai Bersatu, tetapi ahli parti itu menyertai UMNO atau Bersatu bersama-sama UMNO menyertai penyatuan Ummah bersama PAS bagi menyatupadukan dan memperkasakan umat Melayu Islam,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tak payah nak menyibuk soal UMNO-Pas



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker