4 Cadangan Selamatkan Sawit – MCA

KUALA LUMPUR 5 Julai – MCA mendesak Menteri Industri Utama, Teresa Kok supaya berhenti bermain ‘drama’ pelbagai isu membabitkan komoditi utama, sebaliknya segera melawat peladang dan pekebun di seluruh negara bagi benar-benar memahami masalah yang dihadapi mereka.

d

Desakan itu disuarakan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan MCA, Ling Tian Soon yang turut mencadangkan kepada pihak kementerian supaya melaksanakan empat perkara bagi menyelamatkan industri sawit negara.

Beliau berkata, kerajaan perlu berhenti mengimport minyak sawit mentah (MSM) dari Indonesia untuk diproses dan pastikan kesemua minyak sawit untuk dieksport adalah produk tempatan.


“Pihak kementerian perlu segera melaksanakan skim galakan dan insentif penanaman semula yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu pada RM7,500 sehektar. Namun, sayangnya kerajaan baharu telah menghentikan skim ini.

“Ketiga, kemudahan baja subsidi perlu disediakan kepada peladang-peladang kecil bagi menurunkan kos pengeluaran mereka dan yang terakhir, menyediakan skim pembiayaan mudah bagi membantu peladang sawit yang sebelum ini membeli ladang sawit dengan pembiayaan bank,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Disebabkan pengeluaran yang melebihi jangkaan dan ditambah dengan eksport yang berkurangan, harga antarabangsa MSM jatuh ke paras terendah dalam tujuh tahun pada RM1,947 per tan, bermakna peladang kecil bakal menerima pulangan buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah dari bulan lepas, yang mencatatkan RM285 hingga RM295 per tan.

Harga rendah sebegini telah menghantui lebih 650,000 peladang kecil sawit seluruh negara melebihi setahun, sekali gus memberi bayangan masa depan yang malap bagi industri berkenaan.

Sementara pengeluaran produk sawit bagi bulan Jun, merosot 19.9 peratus ke 1,343,428 tan berbanding 1,677,639 tan pada bulan sebelumnya. Syarikat pemeriksa bebas, AmSpec Agri Malaysia pula melaporkan, eksport dalam tempoh sama juga susut 19.6 peratus.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, pihak kementerian tidak boleh terus memandang remeh dengan statistik yang semakin membimbangkan itu, sebaliknya kembali ke pangkal jalan secara lebih pragmatik dengan membantu mengatasi masalah yang mendepani pengusaha sawit.


“Pegawai malah menteri berkenaan sepatutnya tidak lagi memikirkan penyelesaian yang tidak praktikal dari bilik berhawa dingin mereka, sebaliknya dekati hidup peladang bagi memahami serta mengatasi masalah mereka,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker