Tak payah nak menyibuk soal UMNO-Pas

BEBERAPA hari lalu, tersebar kembali klip video ucapan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang antara lain berkata;

“Jangan sekali-kali biar UMNO hidup balik di Cameron Highlands…UMNO hidup balik bergabung dengan Pas habislah kita…70 %.. Awak bagi UMNO hidup, mereka akan jadi 40 % tambah 30 %.. walaupun kita dapat 95% undi Cina dan 30 % undi Melayu, penggal depan kita kalah jugak…jadi untuk pastikan UMNO tidak kembali bernyawa mesti ingat enam perkataan ini ambil nyawa dia ketika dia sakit.”

Penulis tidak perlu terperinci siapakah pemimpin tersebut dan daripada parti mana. Mungkin ramai boleh menekanya. Biarpun impian pemimpin berkenaan tidak tercapai apabila Barisan Nasional (BN) menang di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau tetapi agenda untuk melihat UMNO ‘berkubur’ selama-lamanya tetap menjadi agenda parti tertentu dalam PH.

Kini mereka semakin gerun apabila UMNO bukan sahaja terus bangkit malah sudah memeteraikan kerjasama dengan Pas. Keadaan itu sudah tentulah menjadi mimpi ngeri PH.

Selama ini mereka begitu gembira apabila UMNO dan Pas bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya. Pertarungan tiga penjuru memungkinkan PH mengambil kesempatan untuk meraih kemenangan.

Bagaimanapun kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada Jumaat lalu di Pokok Sena, pasti meletakkan musuh politik parti itu dan Pas bagaikan ‘cacing kepanasan’.

Bekas Menteri Pendidikan itu menyatakan, meskipun piagam kerjasama parti itu dan Pas hanya akan dimuktamad bulan depan, namun persefahaman awal telah dicapai iaitu tidak akan berlaku pertembungan dua penjuru semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pihaknya yakin jika perkara itu dimuktamadkan nanti, UMNO dan Pas bakal membentuk kerajaan.

“Soal pembahagian kerusi (antara dua parti) masih awal tetapi apa yang pasti, satu persefahaman akan dimuktamadkan melalui piagam iaitu mana-mana kerusi ditandingi Pas, UMNO tidak akan meletakkan calonnya. Begitu juga sebaliknya apabila UMNO bertanding,” katanya.

Persefahaman dan kesepakatan awal itu ternyata meresahkan parti-parti dalam PH, sebab itulah ada cabaran supaya UMNO dan Pas menyerahkan lima kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di samping Exco di negeri dikuasai masing-masing bagi membuktikan keikhlasan kerjasama kedua-dua parti pembangkang itu bukan retorik atau senda politik semata-mata.

Ketika melontar cabaran itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, kegagalan melaksanakan tanggungjawab itu menjadi bukti yang UMNO-Pas hanya bersandiwara kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia dengan permainan politik mereka bahkan, bukan berusaha murni ke arah ta’awun seperti dijanjikan.

Persoalannya apa hak PKR untuk campur tangan dalam urusan dalaman politik melibatkan UMNO-Pas? Sepatutnya pemimpin PKR cermin diri adakah dengan pelbagai isu sedang melanda parti itu termasuk pertikaman lidah dengan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mereka layak mencabar UMNO-Pas?

Sudah pastilah pemimpin UMNO-Pas tidak akan melayan cabaran tersebut, tetapi ia harus dilihat bagaimana usaha menggagalkan kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak pernah terhenti.

Pemimpin-pemimpin PH sememangnya gelisah dengan kerjasama dua parti utama orang Melayu itu. Justeru mereka berusaha untuk membuat kenyataan atau cabaran bertujuan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu.

Penulis percaya ‘serangan demi serangan’ akan berterusan. UMNO dan Pas akan terus diserang ketika kedua-dua parti sedang membuat persiapan mewujudkan piagam kerjasama.

Dalam berhadapan situasi seumpama ini pemimpin dan ahli kedua-dua parti perlu istiqamah. Mereka tidak boleh terhasut atau terperdaya dengan gerakan politik yang bertujuan mengagalkan usaha bagi memperkukuhkan kuasa politik orang Melayu melalui kerjasama UMNO-Pas.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin PH tidak perlu menyibuk dan mengganggu apa yang mahu dilakukan UMNO-Pas. Kalau mereka yakin kemenangan dalam PRU-14 dulu disebabkan kekuatan sendiri sudah pasti mereka tidak akan bimbang dengan kerjasama berkenaan.

Tetapi mereka tahu kemenangan dicapai dalam pilihan raya umum lalu bukanlah tulen, ia hanya disebabkan sentimen ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’. Tambahan pula mereka amat memahami orang Melayu semakin menolak PH.

Mereka juga sudah menghitung bahawa jika UMNO-Pas bergabung dalam pilihan raya, tidak kurang daripada 20 kerusi Parlimen dalam bahaya. Oleh itu mahu tidak mahu, kerjasama tersebut harus digagalkan dan mereka tahu cara terbaik ialah menggugat keyakinan ahli UMNO dan Pas supaya wujud prasangka sesama sendiri.

Bagaimanapun berdasarkan sentimen dan kesungguhan ditunjukan pemimpin UMNO dan Pas serta akar umbi, ia membuktikan ‘gangguan dan bisikan’ oleh sesetengah pemimpin PH tidak berhasil.

Pada masa sama pemimpin PH perlu ingat, janganlah sibuk ‘menjaga tepi kain orang lain’ sedangkan ‘rumahtangga sendiri sedang berantakan’ ibarat ‘retak menanti belah’ – apa maksudnya?

Sama-samalah kita tunggu, “siapa yang kena”.

Zulkiflee Bakar
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker