Keluar UMNO: Ibarat pisau bengkok lupakan sarungnya

“Sukar untuk kita maafkan pemimpin yang belot selepas PRU-14 hanya disebabkan kepentingan peribadi dan enggan bertanggungjawab ke atas kekalahan parti,” ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pemimpin-pemimpin berkenaan bukan sahaja telah menikam parti malah mengkhianati kaum Melayu dalam memperjuangkan hak serta mempertahankan Islam.

“Perbuatan ini tidak boleh diterima. Ia ibarat pisau bengkok yang melupakan sarungnya.

“Mereka yang selama ini mengecap pelbagai kesenangan ketika bersama UMNO kini sanggup meludah ke muka anak bangsa demi menyelamatkan diri sendiri,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah, di sini, hari ini.



Ahmad Zahid berkata, Bahagian Masjid Tanah sepatutnya menjadi modul kemegahan UMNO kerana semua lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Bagaimanapun kesalnya, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu sanggup keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejurus BN yang diterajui UMNO tewas pada PRU-14.

“Ini kesalahan mereka terhadap bangsa sendiri, khianat terhadap amanah dan kepercayaan pengundi serta pengkhianatan terhadap parti.

“Inilah antara nama-nama yang akan terpahat di dalam sejarah hitam orang Melayu sampai bila-bila,” tegas beliau.



Justeru, Ahmad Zahid mengingatkan orang Melayu bahawa perjuangan untuk anak bangsa perlu dijadikan keutamaan berbanding sikap memperkasa dan menonjolkan diri sendiri.

“Api dalam sekam ini perlu dipadamkan dari awal supaya tidak membakar dan merosakkan parti pada masa depan.

“Perjuangan akan diteruskan walaupun bagi mereka, UMNO akan hancur tetapi ingatlah bahawa parti ini akan terus berdiri kukuh untuk Melayu dan rakyat Malaysia,” tambah beliau. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker