PAS sebulat suara lulus usul bertahaluf dengan Umno

Persetujuan sebulat suara daripada perwakilan untuk PAS memeterai kerjasama dengan Umno secara rasmi disambut dengan laungan takbir yang memenuhi Dewan Tertutup Sukpa di Indera Mahkota, Kuantan petang ini.

Jika sebelum ini, kerjasama Umno dan PAS hanya berasaskan konsep taawun, selepas ini usaha akan dibuat – selepas mendapat mandat daripada perwakilan yang bersidang – bagi memeterai persefahaman itu secara sah.

Untuk rekod, taawun bererti kerjasama atau tolong-menolong, manakala tahaluf pula adalah kerjasama secara rasmi dan bertulis.

Usul yang dibentangkan petang tadi menyatakan Dewan Ulama PAS Pusat bersama enam kawasan lain mencadangkan agar pimpinan pusat parti itu serta Majlis Syura Ulama memeterai taawun dan tahalu siyasi dengan Umno serta parti-parti politik lain.

Pada masa sama, PAS juga hendaklah mengadakan garis panduan asas dan batas kerjasama politik dengan parti yang terbabit, manakala hubungan dengan parti komponen Gagasan Sejahtera diperkasakan.

Enam kawasan yang turut membawa usul itu secara bersama ialah Pandan, Serdang, Kota Raja, Sungai Besar, Kuala Pilan dan Temerloh.

Ia dibentangkan Anggota Jawatankuasa Pusat Ulama PAS, Mohd Asri Mat Daud.

Ketika pembentangannya, Mohd Asri berkata sudah tiba masanya kerjasama dengan Umno dijalankan secara tahaluf pula.

“Rasulullah SAW menerima konsep taawun dan tahaluf dengan pihak lain dalam menentang kezaliman tanpa meninggal perkara akidah Islam, sempadan syariat dan akhlak Islam.

“Taawun dan tahaluf diharamkan dan dibatalkan apabila tidak lagi menghormati perkara asas tersebut, melakukan perkara maksiat atau tindakan mencetuskan permusuhan dan mengundang apa saja keburukan.

“Kalau dulu kita bertahaluf dengan DAP, maka hari ini, tidak salah kalau kita bertahaluf dengan Umno pula,” katanya lagi.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker