Nik Nazmi: Cara pelantikan Latheefa tak selari janji PH

Share

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan cara pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tidak selari dengan janji yang dibuat PH dalam manifesto pilihan raya.

Memetik janji ke-14 Buku Harapan, Nik Nazmi mengingatkan ikrar PH untuk memastikan SPRM melapor terus kepada parlimen dan bukan lagi kepada perdana menteri.

“Benar bahawa pindaan undang-undang belum lagi dilakukan untuk memberi ruang kepada janji-janji ini, termasuk pengesahan Pesuruhjaya oleh Parlimen.


“Walau bagaimanapun, pelantikan tersebut sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam untuk menunjukkan bahawa kerajaan pusat Pakatan Harapan berniat untuk mengotakan janji-janjinya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Janji ke-14 Buku Harapan, antara lain menyatakan: “SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri. Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempunyai jaminan pelantikan tetap (security of tenure). Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.”

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau sendiri memilih Latheefa untuk jawatan itu tanpa berbincang dengan menteri kabinet.


Dr Mahathir berkata pelantikan itu dibuat dengan mengambil kira perwatakan tegas Latheefa.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dan menteri kabinet turut mengesahkan bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang pelantikan itu.

Mengulas aspek sama sebelum ini, peguam Syahredzan Johan berkata terdapat salah faham berhubung fungsi Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen.


Jelas Syahredzan, jawatankuasa itu tidak mempunyai peranan dalam pelantikan awam atau meluluskan sesuatu pelantikan.

Sebaliknya, kata Syahredzan, jawatankuasa itu adalah untuk semak dan imbang keputusan eksekutif.

Bagaimanapun, tambah Syahredzan, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen boleh meminta kerajaan menjelaskan sesuatu pelantikan dan memintak saksi termasuk ketua setiausaha negara untuk tampil disoal siasat berhubung pelantikan itu.

Tak boleh pandang sebelah mata

Pelantikan Latheefa turut dipertikai kerana latar belakangnya dalam politik sebagai bekas ahli PKR yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kebimbangan tentang ketidaberpihakan Latheefa wujud kerana peguam itu meletakkan jawatan daripada PKR selepas mendapat tahu tentang pelantikannya.

“Oleh itu, kebimbangan terhadap ketidakadilan beliau sebagai ketua pesuruhjaya SPRM—yang merupakan institusi awam yang penting dalam proses reformasi negara—tidak boleh dipandang sebelah mata,” katanya.

Tambah Nik Nazmi lagi, pelantikan Latheefa menjadi tumpuan perhatian kerana ia menimbulkan persoalan tentang komitmen kerajaan kepada agenda reformasi.

Mkini

Leave a Reply