Cukuplah.. Rakyat sudah benci PH guna naratif salah kerajaan dahulu – Pas Kedah

Pas negeri ini sekali lagi mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu termasuk dalam soal pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kerana rakyat sudah semakin benci dan muak dengan naratif seperti itu.

Dalam masa sama, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Md. Nor secara sinis turut mempersoalkan bagaimana kerajaan dahulu yang digelar perompak boleh memberi dividen tinggi, sedangkan PH yang dikatakan telus serta bersih hanya mampu mengumumkan hibah pada kadar 1.25 peratus sahaja iaitu terendah dalam sejarah.

Katanya, kerajaan perlu berhenti menyalahkan kerajaan dahulu sebaliknya fokus menguruskan Tabung Haji kerana ia melibatkan kepentingan orang Islam di negara ini.

“Saya lihat Tabung Haji sudah lari daripada landasan iaitu matlamat penubuhannya untuk memudahkan bakal-bakal haji dan bukan membiarkan mereka terus gelisah dengan situasi yang berlaku ini.



“Pretasi Tabung Haji ketika berada di bawah pengurusan ‘perompak’ dilihat lebih baik dengan hibah sehingga lebih enam peratus. Bagaimana ‘perompak’ lebih baik daripada kerajaan yang begitu suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Tabung Haji mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit.

Kadar hibah itu merupakan agihan terendah dalam sejarah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dilaporkan berkata, kerajaan PH telah mewarisi Tabung Haji daripada kerajaan sebelum ini dalam suasana yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan.



Sementara itu, Muhammad Sanusi menasihatkan para pendeposit agar tidak mengeluarkan simpanan mereka dan bersabar dengan situasi yang berlaku ini.

“Mereka (pendeposit) diharap dapat bersabar dan mendoakan agar kerajaan sekarang melakukan sesuatu untuk mengembalikan zaman kegemilangan Tabung Haji,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker