#PrkRantau : Anwar menari, orang ramai terhibur

Share

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian ramai apabila menari semasa program Malam Kebudayaan India di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas, Rantau di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menari dan menyanyi lagu Tamil hampir tiga minit bersama seorang artis yang berpakaian seperti pelakon terkenal dari India, MG Ramachandran (MGR).

Walaupun pernah mengalami sakit belakang kronik, Anwar dapat menari dengan susunan langkah yang baik dan mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Beliau pernah mempamerkan bakat sama di hadapan pengundi kaum India semasa bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson tahun lalu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar berkata, beliau memilih Dr. S. Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana mahu memenuhi janji kepada masyarakat India.

“Ada orang minta saya letak calon Melayu kerana akan lawan dengan (Datuk Seri) Mohamad Hasan. Tetapi saya letak Dr. Streram kerana sudah janji.

“Dulu kita tukar DUN (Dewan Undangan Negeri) Jeram Padang dengan letak calon Melayu, Rantau kita beri kepada calon India,” katanya.

Beliau berkata, Rantau yang terletak bersebelahan Port Dickson akan mendapat banyak manfaat daripada pembangunan yang sedang dirancang di kawasan itu jika mempunyai wakil rakyat dari PH. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply