#PrkRantau : PH buat provokasi perkauman tapi tuduh BN – Tok Mat

Share

Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa, kain rentang dan poster bersifat perkauman yang dipasang di sekitar Rantau adalah provokasi yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, pihak tersebut sengaja menggambarkan seolah-olah ia dilakukan oleh BN bagi mencetuskan kemarahan pengundi kaum India.

Katanya, perbuatan provokasi seumpama itu adalah taktik biasa yang dilakukan PKR dan pernah terjadi di DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila sebuah kuil dirobohkan sendiri oleh mereka namun menuduh BN.


“Buat apa BN nak buat begitu, tak masuk akal. Kenapa saya hendak hasut orang Melayu jangan undi Dr. S. Streram sedangkan ramai tahu hampir 90 peratus pengundi Melayu ketika ini bersama saya.

“Maksud kain rentang itu sebenarnya adalah untuk menghasut orang India benci kepada BN. Takkan saya nak buat begitu kerana ketika ini saya sedang berusaha meningkatkan sokongan pengundi India kepada saya.

“Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis supaya segera menyiasat dan mengambil tindakan, terhadap provokasi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Tanjung di sini hari ini.


Beliau mengulas beberapa kain rentang dan poster yang menyeru orang Melayu supaya tidak mengundi Streram dalam PRK Rantau yang dipercayai dipasang sejak semalam. Bagaimanapun, ia turut mengandungi perkataan berbaur perkauman terhadap kaum India.

Mohamad turut mengingatkan pihak terbabit supaya menghentikan perbuatan tersebut kerana dibimbangi mencetuskan kekacauan dan perselisihan kaum di kawasan itu.

“PRK sampai 13 April tetapi selepas itu penduduk di Rantau akan duduk semula sebagai satu masyarakat. Saya kesal kerana orang luar datang dan menghancurkan keharmonian penduduk yang telah lama hidup bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE


Leave a Reply