Ini alasan kenapa Khairuddin disingkir dari jawatan Setiausaha Majlis Syura

SHAH ALAM – Keputusan pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas dibuat setelah beliau sebelum ini dipecat daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat pada 12 Januari lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, secara teknikalnya segala keputusan pengguguran Mohd Khairuddin daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas adalah bergantung kepada Majlis Syura Ulama itu sendiri susulan Jawatankuasa Pas Pusat tiada kuasa mencampuri urusan badan tertinggi Pas itu.

Jelas beliau, hal ini kerana Jawatankuasa Pas Pusat hanya berkuasa melantik wakil AJK Pas Pusat ke dalam Majlis Syura Ulama.



“Bagaimanapun, status pelantikan Mohd Khairuddin sebagai AJK Pas Pusat sebelum ini adalah di bawah kuasa prerogatif Presiden parti dan disokong Jawatankuasa Pas Pusat susulan beliau kalah bertanding pada Muktamar Pas tahun lalu.

“Justeru, apabila beliau dipecat sebagai AJK Pas Pusat, secara automatiknya beliau bukan lagi menjadi Ahli Majlis Syura Ulama atau menyandang sebarang jawatan dalam badan tertinggi Pas itu,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengesahkan keputusan pengguguran Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkuat kuasa Khamis.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, pengguguran Mohd Khairuddin telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat pada Rabu berikutan masalah disiplin.



Mengulas lanjut, Nik Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjelaskan segala keputusan dari aspek pelantikan Setiausaha Majlis Syura Ulama baharu adalah terserah kepada Majlis Syura Ulama Pas dan tidak boleh dicampuri oleh Jawatankuasa Pas Pusat.

“Terserah kepada Majlis Syura Ulama Pas untuk lantik ahli atau setiausaha yang baharu. Kita tidak boleh campur,” ujarnya lagi.

Pada 12 Januari lalu, Mohd Khairuddin digugurkan sebagai AJK Pas selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Berikutan itu, Mohd Khairuddin kini hanya ahli biasa Pas tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.



Mohd Khairuddin sebelum ini tersingkir ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November lalu.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin turut digugurkan daripada jawatan menteri dan digantikan oleh seorang lagi Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mohd Khairuddin sebelum ini turut dikaitkan sebagai salah seorang pemimpin Pas yang cenderung mempertahankan kerjasama Muafakat Nasional (MN) di antara parti itu dengan UMNO selain lantang mengkritik beberapa keputusan parti.

Ini alasan kenapa Khairuddin disingkir dari jawatan Setiausaha Majlis Syura




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur



Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker